
Corak cuara El Nino tahun ini memburukkan lagi kebakaran musim kering tahunan yang sering berpunca daripada pembersihan hutan menggunakan kaedah tebang dan bakar untuk penanaman, termasuk perladangan.
Agensi cuaca Indonesia dalam satu kenyataan memberi amaran kepada penduduk berhubung jerebu kerana titik panas di Sumatera dan kepulauan Borneo bertambah pada minggu lalu, walaupun terdapat hujan.
Menurutnya, sebanyak 1,547 titik panas yang menunjukkan kebakaran atau risiko tinggi kebakaran dikesan di enam wilayah dan asap kebakaran mungkin menjejaskan lebih banyak wilayah, bergantung kepada arah tiupan angin.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan potensi berlaku jerebu rentas sempadan.
Jerebu akibat kebakaran hutan yang melanda negara jiran pada kemuncak musim kering bulan lalu mencetuskan pertikaian diplomatik antara Indonesia dan Malaysia.
Sesetengah sekolah yang dibuka semula selepas kualiti udara bertambah baik, terpaksa ditutup minggu ini.
Agensi berita Antara melaporkan pihak berkuasa di Palembang, ibu wilayah Sumatera Selatan mengarahkan sekolah ditutup selama tiga hari mulai kelmarin dan ia akan dilanjutkan jika keadaan tidak bertambah baik.
Penduduk pula dinasihatkan memakai topeng hidung dan mulut apabila berada di luar rumah.
Gambar dari udara yang diambil kelmarin menunjukkan Palembang dilanda jerebu tebal kekuningan menghiasi halaman depan akhbar Jakarta Post semalam.
Pegawai kerajaan Jambi, sebuah bandar di Sumatera, dipetik Antara sebagai berkata, semua tadika di bandar itu ditutup selama tiga hari.
“Sebagai langkah proaktif terhadap jerebu, semua pelajar, guru dan kakitangan pentadbiran digesa memakai topeng hidung dan mulut ketika di sekolah serta dalam perjalanan pergi dan balik dari sekolah,” kata jurucakap kerajaan Jambi, Abu Bakar.
Indonesia mengerahkan ribuan anggotanya dan berpuluh pesawat untuk memadam kebakaran hutan serta melakukan pembenihan awan bagi menghasilkan hujan.
Agensi bencana Indonesia pada bulan lalu dilaporkan berkata, ia menjangkakan ketibaan musim hujan untuk mengakhiri kebakaran yang membabitkan lebih 320,000 hektar hutan.