
Sebuah daerah akan dikategorikan zon merah apabila mencatatkan lebih 40 kes aktif Covid-19.
“Sekolah dan institusi yang mempunyai asrama juga ditutup. Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil pelajar yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang.
“Bagaimanapun, pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa serta ingin kekal di asrama sekolah dan institusi berkaitan sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah jagaan warden asrama.
“Keperluan makan dan minum pelajar sepanjang tempoh tersebut akan disediakan pihak sekolah dan institusi berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kementerian itu berkata, pelajar yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa sepanjang tempoh penutupan itu perlu mendapatkan surat dari sekolah untuk berbuat demikian.
Katanya, pentadbir sekolah dan semua institusi pendidikan perlu memastikan tenaga pengajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran atas talian sepanjang 2 minggu ini.
“Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM, www.moe.gov.my.”
2 lagi sekolah di Perak ditutup
Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar Al-Baqir di Bagan Serai dan SMK Pekan Baru di Parit Buntar ditutup mulai hari ini untuk kerja pembersihan dan akan dibuka semula 2 Nov nanti.
Ini menjadikan keseluruhan 9 sekolah di Perak ditutup setakat ini akibat jangkitan Covid-19 membabitkan guru dan pelajar.
Tujuh sekolah lain ialah SMK Klian Pauh di Taiping, Sekolah Kebangsaan Klebang Jaya, SMK Aminuddin Baki di Chemor, SMK Dato Haji Mohd Taib di Ipoh, SK Tanah Kebun, SMK Raja Lope Nor Rashid di Parit Buntar serta SK Lekir Batu 8 di Sitiawan, Manjung.