
Di Pulau Pinang, Pengarah Pendidikan negeri, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, 161 pelajar dari 77 sekolah rendah dan menengah dijangkiti wabak itu hari ini berbanding 142 orang di 70 sekolah semalam.
Daripada jumlah itu, 9 pelajar sedang menerima rawatan di hospital.
“Mereka yang tidak menerima rawatan di hospital dikuarantin di rumah masing-masing dan semua dalam keadaan stabil,” katanya kepada Bernama.
Di Perak, Pengarah Pendidikan negeri, Suhaimi Mohamed Ali berkata, 57 pelajar dijangkiti influenza berbanding 37 semalam.
Beliau berkata, ia melibatkan 34 sekolah di 5 daerah, antaranya membabitkan 16 pelajar di Bagan Datuk, termasuk di Sekolah Menengah Sains Teluk Intan yang ditutup sejak Isnin lalu sehingga Ahad ini.
Di Negeri Sembilan, jangkitan influenza turut merekodkan peningkatan 22 berbanding 11 kes semalam.
Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohd Faid Rashid berkata, penambahan 11 kes itu membabitkan murid prasekolah di Port Dickson.
Katanya, kes Influenza Like Illness (ILI) juga menyaksikan peningkatan daripada 106 kes semalam kepada 112 kes hari ini.
“Bagaimanapun, situasi terkini bagi penyakit Influenza dan ILI di negeri ini dalam keadaan terkawal. Tiada sekolah ditutup dan tiada kematian dilaporkan,” katanya.
Di Selangor, Pengarah Pendidikan negeri, Mahanom Mat Sam berkata, 387 kes influenza melibatkan 149 sekolah direkodkan.
Bagaimanapun katanya, tiada kelas mahupun sekolah di negeri itu ditutup buat masa ini.
Di Johor, kes influenza melibatkan pelajar kini direkodkan 109 kes.
Pengarah Pendidikan negeri, Azman Adnan berkata, Johor Bahru merekodkan kes tertinggi dengan 46 kes, diikuti Batu Pahat (19) dan Kulai (16).
Di Melaka, Pengarah Pendidikan negeri, Mohd Azam Ahmad berkata, 31 kes direkodkan melibatkan 29 murid, seorang kanak-kanak prasekolah dan seorang guru wanita sejak Isnin lalu, namun tiada sekolah ditutup.
Exco Kesihatan dan Anti-dadah Melaka, Low Chee Leong berkata, bekalan vaksin influenza di hospital kerajaan di negeri itu mencukupi, dengan keutamaan suntikan vaksin diberi kepada pesakit berisiko tinggi.
Di Terengganu, tiada kes jangkitan baru direkodkan setakat ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Alias Razak.
“Selepas 9 kes yang dilaporkan di Setiu pada 13 Jan lalu, tiada lagi kes baru direkodkan sehingga hari ini.”
Di Pahang, 37 orang dijangkiti influenza membabitkan 24 sekolah di 9 daerah di negeri itu sejak 7 Jan lalu, kata Pengarah Pendidikan negeri, Tajuddin Mohd Yunus.
Katanya, ia membabitkan 31 murid sekolah rendah, 3 murid prasekolah, 2 pelajar sekolah menengah dan seorang guru.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan berkata, sebuah sekolah di Perak dan 2 kelas di sebuah sekolah di Pulau Pinang ditutup setakat semalam susulan penularan wabak influenza.
Kementerian itu dalam kenyataan hari ini berkata, Sekolah Menengah Sains Teluk Intan di Perak ditutup mulai 11 hingga 19 Jan ini dan 2 kelas di SJKC Li Hwa, Pulau Pinang ditutup mulai 7 hingga 19 Jan.
“Keputusan ini dibuat setelah mendapat nasihat dan pandangan pejabat kesihatan daerah.”
Bagaimanapun, katanya, statistik rasmi jumlah pelajar dijangkiti influenza hanya boleh disahkan Kementerian Kesihatan.