Penat, murung, asyik lapar? Anda kena bangkit dan bersenam

Penat, murung, asyik lapar? Anda kena bangkit dan bersenam

Sukar tidur, selalu letih, asyik lapar dan masalah kemurungan antara yang dikaitkan sebagai simptom kurangnya senaman atau aktiviti fizikal.

Pernahkah kita berasa sukar untuk memulakan sesuatu senaman? Seolah senaman itu sendiri satu tugas yang memenatkan atau mencuri masa daripada jadual harian yang sudah sedia sibuk?

Ramai yang memberi alasan, “Sekarang saya sangat sibuk, mungkin selepas anak-anak saya membesar, saya akan bersenam”; “Selepas usia 40 tahun, saya akan bersenam”; “Saya tiada masa sekarang, saya kena kerja 10 jam sehari,” dan sebagainya.

Sebenarnya anda yang sepatutnya memberi keutamaan untuk aktiviti bersenam.

Andalah yang sepatutnya meluangkan masa untuk bersenam lebih daripada mereka yang mempunyai masa untuk beriadah mahupun berjalan-jalan di pusat beli-belah dan mempunyai aktiviti hujung minggu bersama keluarga.

Tidak hairan, mereka yang penat bekerja pada satu tempoh masa yang lama, tidak menghiraukan masa untuk bersama keluarga atau berehat, langsung tidak terlibat dalam aktiviti fizikal adalah sebenarnya lebih mudah berdepan dengan pelbagai isu kesihatan.

Simptom yang dinyatakan di bawah menunjukkan kesan tidak cukup gerakan fizikal kepada tubuh anda.

1. Insomnia

Adakah anda sering berasa sukar untuk tidur? Maka ia salah satu gejala kekurangan senaman.
“Orang yang bersenam mudah tidur dan mempunyai kualiti tidur yang lebih baik daripada orang yang tidak bersenam,” kata jurulatih peribadi, Jeff Miller, petik Simple Most.
Satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Medicine Sleep, penyelidik dari Universiti Northwestern melibatkan separuh orang dewasa yang mempunyai insomnia dibawa untuk menjalani latihan senaman. Hasilnya, mereka yang bersenam mampu tidur 1.25 jam lebih lama berbanding mereka yang tidak terlibat dalam aktiviti fizikal.

2. Mudah jatuh sakit

Sesetengah kajian juga mengaitkan senaman dengan sistem ketahanan badan. Pakar kecergasan Brandon Mentore berkata, seseorang perlu meningkatkan aktiviti fizikal untuk merangsang otot tisu bagi meningkatkan pertahanan badan atau sistem imunisasi.
Mentore berkata, tubuh yang selalu jatuh sakit menandakan seseorang itu perlu menjalankan aktiviti fizikal yang lebih aktif.

3. Kerap letih

Walaupun anda makan dan tidur sebaiknya, adakalanya badan tetap berasa letih. Itu menandakan tubuh badan anda perlukan gerakan yang lebih banyak.
Menurut satu kajian dari University of Georgia, latihan intensif selama 20 minit 3 kali seminggu meningkatkan tenaga sehingga 20%. “Ini seperti motivasi untuk memperoleh otot yang besar. Sekali bergerak, tenaga akan meningkat,” ujar pelatih peribadi dari Chicago, AS, Traci Mitchell, dipetik dari Reader ‘s Digest.

4. Sakit otot dan sendi

Sakit belakang, bahu dan pinggang memberi isyarat tubuh perlukan gerakan. Kekurangan pergerakan menyebabkan otot dan sendi menjadi kaku sehingga mudah sakit. Ia juga boleh diburukkan dengan tekanan pada otot yang menambahkan ketegangan. Aktiviti fizikal akan membantu otot yang tegang berehat.

5. Selalu lapar

Persepsi umum mengenai seseorang yang banyak melakukan aktiviti fizikal ialah mudah lapar ekoran banyak kalori tubuh terbakar selepas latihan senam. Sebaliknya mereka yang jarang bersenam yang lebih mudah lapar. Mereka yang melakukan senaman memerlukan banyak tenaga, yang secara automatik menghasilkan keperluan pemakanan yang dikurangkan untuk badan. Apabila badan tidak banyak bergerak pula akan wujud kelaparan tersembunyi.
“Tubuh yang penat dan bergerak secara perlahan menyebabkan pengeluaran hormon ghrelin yang berlebihan dan mengundang rasa makan berlebihan sepanjang hari,” jelas pelatih peribadi, Amanda L Dale kepada Simple Most.
Latihan senaman mengawal selera makan semulajadi dan tidak selalunya berasa lapar.

6. ‘Moody’

Bagi wanita, naik dan turun mood biasanya dikaitkan dengan fasa pra-haid. Namun, bagi mereka yang jarang bersenam juga berdepan dengan mood turun naik dan boleh berlaku pada bila-bila masa. Latihan senaman memainkan peranan besar dalam mengawal mood dan menurut Amanda, senaman melawan kemurungan awal.
“Jika anda berasa sedih, marah atau takut dan tidak tahu mengapa, ia disebabkan kekurangan senaman,” tambah Amanda.

7. Gangguan pencernaan

Ramai yang akui sukar membuang air besar atau tidak teratur, ini bermakna anda memerlukan aktiviti fizikal. Sukan merangsang usus dan mengepam sistem pencernaan dalam tubuh sehingga semua ‘sampah’ dan toksin berlebihan dalam tubuh dikeluarkan menerusi sistem pencernaan yang sihat. Ia juga mengelakkan sembelit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.