
Anak bekas perdana menteri itu, Mokhzani Mahathir, berkata bapanya keletihan selepas hadir satu program semalam serta kurang tidur.
“Selepas bersarapan dan menjamah sedikit kuih serta kopi beliau kembali segar,” katanya menurut Berita Harian.
Terdahulu, Mahathir tiba di Tasik Putrajaya pada 7.45 pagi dengan memandu sendiri, sebelum mengayuh basikal secara ‘tandem’ di sekitar tasik diiringi pegawai keselamatan khas.
Dilaporkan, selepas menamatkan kayuhan sejauh kira-kira lapan hingga sembilan kilometer, beliau dilihat keletihan dan duduk berehat di kerusi seketika sebelum menuju ke meja sarapan yang disediakan.
Antara menunggu kehadirannya ialah isteri, Siti Hasmah, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar serta Mokhzani.
Lebih 500 hadir memeriahkan program dengan membawa pelbagai makanan untuk bersarapan secara santai bersama keluarga di tepi tasik.
Mahathir dilihat meninggalkan program kira-kira 10 pagi dan sempat beramah mesra dengan orang ramai.