Anak anggota bomba lemas meraung mahukan ayah

Anak anggota bomba lemas meraung mahukan ayah

Suasana hiba menyelubungi majlis penghargaan jasa 6 anggota bomba yang terkorban dalam operasi menyelamat di Puchong 3 Oktober lalu.

Noor Nadia Kamaluddin.
PUTRAJAYA:
Anak kepada salah seorang anggota bomba yang lemas dalam operasi menyelamat di lombong Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor 3 Oktober lalu meraung mahukan ayahnya, menambahkan suasana hiba majlis penghargaan jasanya hari ini.

Ibu anak kecil itu, Noor Nadia Kamaluddin, 29, berkata dirinya pasrah dengan pemergian Mohd Fatah Hashim namun anak-anak kecilnya tidak dapat menerima kehilangan bapa mereka.

“Anak kedua saya, Muhamad Meqa Al-Asyraf, yang baru berusia 1 tahun 10 bulan masih terjerit-jerit memanggil bapanya. Waktu malam tak lena tidur, bila tersedar dia akan cari ayah,” katanya kepada pemberita.

Muhamad Meqa Al-Asyraf.

“Sewaktu anggota bomba ambil kami dari rumah, dari situ lagi dia sudah terjerit memanggil ayahnya. Apabila di sini nampak anggota pakai baju sama, semua dia panggil ayah.”

Anak sulung Fatah, Nur Medina Aisyah, 3, pula sama sekali mengelak daripada apa sahaja berkaitan bomba

“Van bomba juga dia tidak mahu tengok,” katanya.

Nadia dan anak-anaknya hari ini menyertai ahli keluarga 6 anggota bomba yang terkorban semasa menjalankan tugas di Majlis Penghargaan Wira Merah di ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Putrajaya.

Mereka diberi penghormatan oleh 200 anggota bomba dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Setiap ahli keluarga mangsa menerima wang antara RM160,000 hingga ke RM300,000 hasil manfaat insuran dan kebajikan dari jabatan dan persatuan yang disertai pasangan mereka.

Sementara itu, Shahmiza Salleh, 32, isteri kepada Adnan Othman, sama sekali tidak menjangkakan keprihatinan rakyat terhadap keadaan keluarganya selepas kejadian malang itu.

Beliau amat menghargai perhatian dan sumbangan orang ramai kepada keluarganya.

“Wang hasil sumbangan ini mungkin kita akan gunakan simpanan anak-anak,” katanya.

Zuraida hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memberikan sumbangan RM20,000 kepada ahli keluarga.

“Jawatankuasa khas bagi menyiasat kes melibatkan 6 anggota bomba berkenaan, yang sudah ditubuhkan akan mula bermesyuarat pada minggu depan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.