Dr M: Bukan saya, tapi Johor cadang teruskan projek jambatan bengkok

Dr M: Bukan saya, tapi Johor cadang teruskan projek jambatan bengkok

Perdana menteri berkata, cadangan itu menyebabkan timbul perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin kerajaan Johor.

KUALA LUMPUR:
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, cadangan meneruskan projek jambatan bengkok disuarakan kerajaan Johor, bukannya beliau.

Perdana menteri berkata, cadangan itu menyebabkan timbul perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin kerajaan Johor.

“Mereka kata mahu bina jambatan bengkok, tetapi ada juga pihak kata jangan bina jambatan bengkok,” katanya dalam sidang media selepas membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, cadangan membina jambatan ke-3 Johor perlu mendapat kelulusan Singapura, tetapi beliau menjangkakan republik itu tidak akan bersetuju.

“Jambatan bengkok tidak melibatkan Singapura dan kita boleh bina bila-bila masa, tetapi jambatan ke-3 kena minta kelulusan Singapura.”

Selasa lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dilaporkan berkata, projek jambatan bengkok yang diilhamkan Dr Mahathir sejak 1996, tetapi ditolak 2 perdana menteri sebelum ini, kini dalam perancangan semula.

Perbincangan mengenai jambatan itu menggantikan Tambak Johor yang digunakan sejak 1923, diadakan sejak 1997, namun menemui jalan buntu sehinggalah ia dibatalkan pada 2006 ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.

Ia digelar jambatan bengkok kerana reka bentuk melengkung jambatan itu di perairan negara, sebelum bertemu bahagian tambak di Singapura.

Perobohan tambak dalam perairan negara dijangka membolehkan kapal dagang melalui Selat Tebrau dan merancakkan industri di Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang, serta melancarkan aliran laut di Selat Tebrau.

Osman dilaporkan berkata, Johor juga mempertimbangkan cadangan membina jambatan ke-3 menghubungkan Singapura dan Dr Mahathir setuju memberi bantuan persekutuan untuk projek itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan lokasi jambatan itu bagi mengelakkan spekulasi hartanah.

Tiada rombakan Kabinet

Sementara itu, Dr Mahathir menafikan khabar angin Kabinet akan dirombak Disember ini.

“Tiada rombakan Kabinet. Saya tidak tahu. Saya tidak boleh beritahu perkara untuk masa akan datang.”

Mengenai had 2 penggal untuk jawatan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri, Dr Mahathir berkata, beberapa peruntukan di bawah Perlembagaan perlu dipinda.

“Ini melibatkan Perlembagaan, jadi ada beberapa peruntukan yang kita lihat dalam Perlembagaan dan mahu satukan sekali.”

Terdahulu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, had penggal jawatan itu ialah sebahagian transformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.