Ada hikmah MCA tiada dalam Kabinet, kata pemimpin Pemuda

Ada hikmah MCA tiada dalam Kabinet, kata pemimpin Pemuda

Timbalan Ketua Pemuda MCA Mike Chong Yew Chuan berkata ketiadaan wakil parti itu dalam rombakan Kabinet membolehkannya memainkan peranan semak dan imbang.

AGM MCA
MCA tidak mempunyai wakil dalam Kabinet kerajaan perpaduan diketuai Anwar Ibrahim. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin MCA menyifatkan ketiadaan wakil parti itu dalam rombakan Kabinet mempunyai hikmah tersendiri yang tidak memerlukannya keluar dari kerajaan perpaduan.

Timbalan Ketua Pemuda MCA Mike Chong Yew Chuan berkata keadaan itu membolehkan parti terbabit terus memainkan peranan semak dan imbang yang giat dilakukan terutama Presiden Wee Ka Siong menerusi platform Dewan Rakyat.

Selain Wee yang mewakili Parlimen Ayer Hitam, MCA juga mempunyai seorang lagi wakil di Dewan Rakyat iaitu Ahli Parlimen Tanjung Piai Wee Jeck Seng.

“Ada hikmahnya MCA tidak diberi jawatan kerana kami boleh bersuara dengan lebih bebas dan konstruktif,” kata Mike kepada FMT mengulas ketiadaan wakil MCA dalam rombakan Kabinet terbaharu kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar pada Selasa mengumumkan rombakan Kabinet yang membabitkan 28 menteri dan timbalan menteri, merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu.

Penyusunan semula anggota Jemaah Menteri itu adalah sebagai langkah penstrukturan semula bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran serta memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan lebih berkesan.

Rombakan Kabinet pimpinan Anwar itu yang kedua selepas kali pertama dilaksanakan pada Disember 2023.

Mengulas lanjut, Mike Chong berkata MCA tidak pernah meminta jawatan Kabinet atau menjadikannya sebagai prasyarat untuk menyokong kerajaan..

Menurutnya, fokus utama MCA adalah memperjuangkan kepentingan rakyat berdasarkan prinsip, peranan dan sumbangan sebenar.

“Selain itu memastikan suara masyarakat diwakili secara adil dan bermakna dalam pentadbiran negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.