
Semalam, Takiyuddin mendakwa pelantikan dua pemimpin berbangsa Cina dalam portfolio Wilayah Persekutuan merupakan percaturan sengaja bagi mengukuhkan dominasi DAP di Kuala Lumpur dan pusat bandar utama yang lain.
Syerleena mempersoalkan motif di sebalik kebimbangan yang dibangkitkan oleh Takiyuddin, dan menggesa rakyat membezakan antara kebimbangan tulen tentang tadbir urus dengan drama politik.
Beliau berkata rombakan Jemaah Menteri hanya kelihatan mengancam bagi pihak yang politiknya bergantung pada kekecualian, kawalan, dan takut berkongsi kuasa.
“Tiada apa yang luar biasa atau membimbangkan tentang rombakan Jemaah Menteri. Ia hanya menjadi ‘krisis’ apabila ia sengaja disalahertikan,” menurut kenyataan, menegaskan penyelarasan semula Jemaah Menteri perkara biasa dalam sistem Parlimen untuk meningkatkan koordinasi, prestasi, dan penyampaian.
Menurut wakil rakyat DAP itu, naratif PAS — bahawa kerjasama bermaksud pemusatan kuasa, keterangkuman mengancam kuasa, dan bekerjasama merosakkan identiti — cubaan untuk mengecilkan ruang demokrasi apabila menggunakan kolaborasi dalam taktik menakut-nakutkan.
“Sebagai seorang Muslim, saya menyatakan tanpa ragu: Islam tidak mengajar kita untuk memerintah melalui panik dan syak wasangka. Ia mengajar kita tentang amanah, keadilan, dan kebertanggungjawaban.
“Ia mengajar pemimpin untuk dinilai berdasarkan kecekapan dan integriti — bukan berdasarkan betapa kuat mereka melaungkan khayalan pengambilalihan kuasa.”
Syerleena turut menggesa PAS menjelaskan bagaimana menyebarkan rasa takut menegakkan keadilan, atau kecurigaan menguatkan ummah.
Rombakan Jemaah Menteri pada Selasa menyaksikan pelantikan Hannah Yeoh sebagai menteri Wilayah Persekutuan di Jabatan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui (GRS) sebagai timbalan menteri, di sebalik pengekalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Takiyuddin mendakwa pemusatan kuasa strategik bandar di tangan pemimpin daripada latar belakang etnik dan parti yang sama boleh menimbulkan persoalan besar mengenai ketidakseimbangan kuasa dan hala tuju pentadbiran negara.
Beliau juga mendakwa langkah itu dilihat bertujuan membolehkan sebuah parti membentuk dan mewarnakan dasar urban serta pengurusan tanah dan perumahan tanpa proses semak imbang berkesan dan telus.