Pemandu teksi berang Tony Pua cadang Grab ganti bas perantara

Pemandu teksi berang Tony Pua cadang Grab ganti bas perantara

Mereka memberi 24 jam kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk menjelaskan cadangan Setiausaha Politiknya, Tony Pua supaya Grab menggantikan bas perantara di stesen MRT dan LRT.

Shamsubahrin Ismail (depan, dua dari kanan) mengetuai ratusan pemandu teksi menemui wakil Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.
PUTRAJAYA:
Lebih 200 pemandu teksi mengadakan demonstrasi di sini untuk membantah cadangan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua supaya syarikat e-hailing, Grab menggantikan perkhidmatan bas perantara di stesen Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT).

Mereka turut memberi 24 jam kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membuat penjelasan berhubung cadangan Pua.

Penasihat Big Blue Capital Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail mempersoalkan Lim kenapa Pua dibenarkan membuat kenyataan seperti itu.

“Saya rasa kami kena berjumpa dengan Lim Guan Eng kerana perkara ini dibangkitkan setiausaha politik beliau dan saya tidak pasti bagaimana setiausaha politik lebih berkuasa daripada Lim Guan Eng.

“Dan kenapa hanya Grab? Masalah teksi ini tidak pernah habis dan kita nak jumpa dan duduk secara profesional untuk kita bincangkan apa yang betul dan salah,” katanya selepas menemui Setiausaha Bahagian Strategi Korporat dan Komunikasi Kementerian Kewangan, Suhaili Ahmad, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pua minggu lalu yang berkata, Putrajaya sedang mempertimbangkan kerjasama dengan syarikat swasta dalam projek kerajaan, khasnya membabitkan perbelanjaan prasarana dan pengangkutan awam bagi menangani defisit fiskal serta beban hutang besar.

Ahli Parlimen Damansara itu mencadangkan Grab menggantikan perkhidmatan bas pengantara di stesen MRT dan LRT kerana ia lebih murah berbanding menyediakan bas pengantara.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dilaporkan berkata, kementeriannya tidak pernah menyuarakan hasrat menggantikan perkhidmatan bas perantara dengan Grab di stesen MRT dan LRT, sebaliknya cadangan itu sekadar pandangan peribadi Pua.

Kecewa sokong PH

Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERSIM), Kamaruddin Mohd Hussain kecewa diabaikan Pakatan Harapan (PH) yang disokong mereka sejak sebelum pilihan raya umum ke-14 lagi.

“Malangnya apabila PH menang dan berjaya menjadi kerajaan, tidak ada satu orang pun wakil dari kerajaan yang melihat kebajikan kami.

“Kami seperti sampah dan tidak berharga kepada kerajaan.”

Beliau turut menuntut Loke menjelaskan hala tuju industri teksi.

“Kami mahu Loke bentangkan kepada kami sebab kami ialah pemain industri, kami mahu tahu apakah perancangan beliau untuk masa akan datang bagi industri teksi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.