
Beliau berkata, situasi di Nepal menjadi peringatan bagaimana rasuah dan ketidakadilan boleh mencetuskan kemarahan orang ramai serta menggugat kestabilan kerajaan.
“Lihatlah Nepal. Saya kagum dengan pelajar sekolah menengah Abiskar Raut yang memberi ucapan berhubung kejatuhan kerajaan Nepal,” katanya pada pertandingan debat antirasuah di Universiti Kebangsaan Malaysia malam tadi.
Memetik ucapan pelajar itu, Azam berkata: “Kita adalah api yang akan membakar kegelapan, kita adalah ribut yang akan menghapuskan ketidakadilan.”
Katanya, kepimpinan di Nepal dikejutkan hingga ke akarnya, bahkan Menteri Kewangannya, Bishnu Prasad Paudel turut diserang orang ramai.
Penunjuk perasaan antirasuah di Nepal mengadakan bantahan September lalu bagi menentang perintah berkurung tanpa had dan bertempur dengan polis, selepas 19 maut dalam protes ganas akibat larangan media sosial.
Bangunan kerajaan, Mahkamah Agung, bangunan Parlimen, pos kawalan polis, premis perniagaan dan kediaman ahli politik, termasuk Presiden Ramchandra Paudel dan Perdana Menteri KP Sharma Oli turut dibakar.
Sekurang-kurangnya 72 maut dan perdana menteri kemudiannya meletak jawatan.
Azam berkata, rakyat tidak boleh membiarkan Malaysia mengalami nasib sama.
“Janganlah kita jadi seperti Nepal. Pada pandangan saya, negara kita masih terkawal, tetapi jika rasuah tidak dibendung, ia akan menjadi barah.”