
“Duduk bersila atau dalam posisi yang selesa, tegakkan badan dalam postur yang tegak, letakkan tapak tangan terbuka di atas lutut, pejamkan mata…” Demikian cara seseorang dipimpin untuk sesi bermeditasi. Anda sebenarnya tidak perlu berbuat apa-apa, tiada mantera yang dibaca, tiada zikir yang disebut, tiada doa atau sebarang kata-kata ulangan.
“Hanya beri perhatian kepada cara bernafas, tarik sedalamnya dan hembus perlahan-lahan, tarik sedalamnya dan hembus perlahan-lahan sehinggalah anda ‘tidur’ dalam keadaan sedar.”
Meditasi yang dilakukan secara betul pasti akan membawa perubahan, khususnya kepada mereka yang terlibat dalam rutin harian yang sibuk, tertekan, terlalu banyak jangkaan dan tidak menentu.
Secara am, meditasi dapat menenangkan anda dan memberi kejelasan yang lebih baik.
Mari kita lihat faedah bermeditasi dan bagaimana ia mempengaruhi fizikal, mental dan kerohanian seseorang yang senantiasa terselit di antara pelbagai masalah dan isu.
1. Mengurangkan tekanan
Tekanan atau stres antara sebab utama seseorang memilih melakukan meditasi. Ketika kita tertekan, kadar hormon kortisol di dalam tubuh akan meningkat dan tubuh akan melepaskan bahan kimia perangsang peradangan yang disebut sitokin. Sitokin pula mengganggu tidur, meningkatkan tekanan darah, mengakibatkan depresi dan cemas.
Satu kajian dijalankan oleh Carnegie Mellon University, melibatkan 33 lelaki dan wanita berusia antara 18-30 tahun. Mereka diminta bermeditasi dan latihan pernafasan 25 minit sehari. Selepas 3 hari, sampel air liur mereka menunjukkan penurunan kadar kortisol. Malah kemampuan penyelesaian masalah juga tinggi apabila diberi beberapa soalan pengiraan.
2. Melawan depresi
Tekanan yang berpanjangan boleh berakhir dengan masalah depresi kronik. Dalam situasi ini, meditasi menawarkan ketenangan untuk melawan depresi. Ia dibuktikan menerusi kajian yang dilakukan oleh Rutgers University melibatkan 55 orang; 22 daripada mereka berdepan masalah depresi. Selepas mengikuti program meditasi selama 30 minit diikuti latihan aerobik selama 30 minit sepanjang 8 minggu, gejala depresi berkurang hingga 40%.Malah mereka juga lebih peka dan tidak cemas atau tidak berfikiran negatif.
3. Mengawal rasa cemas
Meditasi juga dikatakan boleh mengawal seseorang daripada rasa cemas kadang berlebihan. Ketenangan dan kedamaian sewaktu melakukan meditasi membantu mengurangkan rasa cemas, apabila ia dilakukan secara berterusan, anda akan lihat perbezaan yang sangat ketara.
4. Meningkatkan kualiti tidur
Masalah tidur dihadapi oleh hampir semua orang generasi baru. Tekanan, gaya hidup, diet, keletihan dan banyak lagi faktor yang menyumbang kepada masalah gangguan tidur atau kesukaran tidur. Justeru, meditasi adalah salah satu rawatan yang paling selamat tanpa kesan sampingan. Satu kajian membandingkan 2 kelompok peserta, iaitu yang mengikuti program meditasi dan tidak. Peserta yang mengikuti meditasi, didapati tidur lebih cepat dan nyenyak berbanding mereka yang tidak. Ini kerana meditasi memberi ketenangan fikiran justeru membantu tubuh merehatkan diri dengan lebih baik.
5. Meningkatkan sistem kekebalan tubuh
Jika anda sering jatuh sakit, ini bermakna anda perlu meningkatkan sistem kekebalan tubuh. Caranya, antara lain ialah dengan melakukan meditasi. Ini kerana amalan tersebut jyga membantu melancarkan pernafasan yang dianggap penting dalam memastikan sistem imunisasi lebih terjaga.