
Bagaimanapun, Menterinya Mohamad Sabu berkata pihaknya perlu meneliti sama ada laporan itu boleh didedahkan kepada umum dari sudut perundangan.

“Saya ingat dalam PAC tidak ada masalah kerana mereka boleh memanggil mana-mana jabatan kerajaan termasuk memanggil menteri sendiri untuk memberi penerangan.
“Sama ada nak dedah kepada umum itu bergantung kepada perbincangan dari masa ke semasa dan juga kena rujuk dengan pihak yang mengendalikan urusan di sudut perundangan dan sebagainya,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) yang bertanya apakah kementerian sedia mendedahkan laporan siasatan Nafas kepada PAC dan orang ramai.
Pada 7 Nov lalu, PAC memutuskan untuk memanggil tiga pihak berhubung siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Nafas.
Antara pihak yang dipanggil adalah Ahli Lembaga Pengarah Nafas, pihak pengurusan Nafas termasuk ketua pegawai eksekutifnya dan pengawal selia Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Dalam pada itu, Mohamad berkata pergantungan Nafas sejak 1 Nov lalu untuk menambah baik tatakelola dan tadbir urus pertubuhan itu masih dikuat kuasa.
“Pendaftar Pertubuhan Peladang memantau urusan harian Nafas serta menjalankan siasatan berhubung isu-isu dikenal pasti di samping menambah baik urusan tatakelola Nafas bagi memperkasakan semula secara menyeluruh,” katanya.
Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) dalam soalan asal meminta penjelasan status terkini penggantungan perlembagaan Nafas dan pembaharuan telah dilaksanakan.