Berhenti jadi mekanik untuk urus jenazah secara percuma

Berhenti jadi mekanik untuk urus jenazah secara percuma

Bermula menghantar jenazah menggunakan van secara percuma, kini Mohd Zulhairi Zainol menguruskan jenazah kepada golongan tidak berkemampuan.

Bekas mekanik itu mengiringi satu jenazah menggunakan van miliknya.
BANGI:
Bermula sebagai sukarelawan mengagihkan bantuan kepada asnaf, kini seorang mekanik kereta sanggup berhenti kerja untuk menguruskan jenazah sepenuh masa, secara percuma,

Mohd Zulhairi Zainol, 34, yang membantu mengagihkan bantuan asnaf kepada golongan selama 3 tahun “terfikir” untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan menguruskan jenazah keluarga mereka.

Mohd Zulhairi Zainol menawarkan pengurusan dan penghantaran jenazah secara percuma.

Pada awalnya, beliau menyediakan perkhidmatan menghantar jenazah menggunakan sebuah van secara percuma selepas berhenti kerja sebagai mekanik di sebuah bengkel di Bandar Baru Bangi.

“Mula-mula hantar (jenazah), saya rasa bab mandi dan mengkafankan pula yang jadi kos. Mandi dan mengkafankan ini selalunya orang caj antara RM650 hingga RM700.

“Kalau orang tak mampu, RM5 pun dia rasa tak mampu,” katanya ketika ditemui FMT.

Disebabkan itu, bapa kepada 3 anak itu mula belajar daripada rakannya mengenai cara-cara memandikan dan mengkafankan jenazah.

Katanya, terdapat juga sesetengah orang bertanya kepadanya bagaimana beliau memperoleh dana dalam menawarkan perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma.

“100% daripada pengikut saya di Facebook mengenali dan percaya kepada saya,” katanya sambil menjelaskan setiap perkhidmatan dan aktiviti yang dilakukan berkaitan jenazah akan dimuat naik di Facebook miliknya.

Katanya, daripada itu juga mereka akan memberikan sumbangan untuk beliau memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Zulhairi berkata antara sumbangan yang diberikan seperti kain kafan, peralatan urus jenazah, petrol, kad “touch n go” dan sebagainya.

“Minyak dan ‘Touch n Go’ pun Petronas dan Petron Bangi yang taja. Manakala peralatan urus jenazah disumbangkan dalam bentuk duit,” katanya yang menguruskan 5 jenazah sebulan.

Beliau turut menegaskan tidak akan “mengambil” kerja menguruskan jenazah sekiranya seseorang itu mempunyai kemampuan dari aspek pengurusan.

“Melainkan betul-betul tak ada orang untuk menguruskan, seperti waktu tengah malam,” katanya yang pernah sampai ke Ipoh bagi membantu menguruskan jenazah keluarga yang tidak berkemampuan.

“Saya pergi ke Ipoh. Saya mandikan, kafankan dan hantar jenazah ke kubur secara percuma.”

Beliau menambah, terdapat pihak yang mempersoalkan bagaimana beliau mengetahui seseorang itu berkemampuan atau tidak dari segi pengurusan jenazah.

“Senang sahaja, bab mati ini orang tak akan tipu, kalau dia cakap dia mampu dia mampu,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini beliau mempunyai 3 van di mana 2 digunakan untuk menguruskan jenazah dan 1 lagi untuk menghantar orang sakit.

“Ketiga-tiga ini saya tawarkan perkhidmatannya secara percuma.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.