Ragut hampir 70 nyawa sebulan, Congo guna ubat baru rawat Ebola

Ragut hampir 70 nyawa sebulan, Congo guna ubat baru rawat Ebola

Prototaip dikenali sebagai mAb114 merupakan ubat terapeutik pertama yang digunakan dalam penularan aktif Ebola di Republik Demokratik Congo.

Free Malaysia Today
Wabak Ebola dinamakan sempena sebatang sungai yang mengalir di bahagian utara Republik Demokratik Congo. (Gambar Reuters)
BENI:
Penularan wabak Ebola di timur Republik Demokratik Congo meragut 67 nyawa bulan ini, kata pihak berkuasa ketika mereka melancarkan sejenis ubat baharu bagi menangani virus itu di tengah-tengah kebimbangan penyakit itu merebak ke kawasan yang dikuasai pemberontak.

Sejumlah 105 kes dilaporkan sejak wabak Ebola mula menular pada 1 Ogos di Mangina dalam wilayah Kivu Utara, menurut kementerian kesihatan, dan daripada jumlah itu, 77 disahkan dijangkiti virus itu menerusi ujian makmal.

Ia berkata 10 orang sembuh daripada virus itu manakala 67 lagi meninggal dunia.

Menteri Kesihatan Oly Ilunga Kalenga berlepas ke Mangina pada Khamis dan menyaksikan 2 pesakit dibenarkan keluar selepas mereka menjalani rawatan yang menggunakan prototaip baharu dikenali sebagai mAb114.

“Mereka adalah antara 10 pesakit pertama yang menerima molekul terapeutik mAb114,” menurut kenyataan kementerian itu.

Dibangunkan di Amerika Syarikat, ia merupakan ubat terapeutik pertama yang digunakan dalam penularan aktif Ebola di Republik Demokratik Congo.

Minggu lepas, kementerian kesihatan berkata 4 lagi ubat eksperimen diluluskan untuk merawat pesakit yang dijangkiti virus itu.

Pada Jumaat, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran tanda-tanda yang menunjukkan virus itu merebak ke bandar Oicha di Kivu Utara boleh melemahkan usaha untuk membendung wabak tersebut.

Meskipun Oicha tidak dikuasai pemberontak, ketua pasukan respons kecemasan WHO Peter Salama berkata bandar itu dikelilingi wilayah dikuasai kumpulan pemberontak Uganda yang digeruni iaitu Angkatan Demokrat Bersekutu (ADF).

Sejumlah besar orang awam terbunuh dalam pergolakan di sekitar Oicha manakala petugas bantuan, paderi dan penjawat awam dijadikan tebusan oleh pemberontak.

Pada Jumaat, pasukan tentera diserang di Beni, yang terletak di tengah-tengah wilayah penularan wabak Ebola, kata sumber tentera dan awam.

Pemberontak ADF dipersalah dan didakwa melakukan serangan itu.

Tiada angka rasmi yang dikeluarkan namun penduduk tempatan berkata kira-kira 10 orang askar terbunuh dalam serangan itu.

Penularan wabak Ebola terkini merupakan yang ke-10 di Republik Demokratik Congo sejak 1976, apabila penyakit itu mula-mula dikenal pasti dan dinamakan sempena sebatang sungai yang mengalir di bahagian utara negara tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.