
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Mohd Azam Omar berkata, pemilik kenderaan terbabit boleh menghantar tuntutan dan dokumen berkaitan melalui e-mel [email protected].
Katanya, bas terbabit dalam keadaan baik sebelum kemalangan berlaku.
“Berdasarkan laporan polis malam tadi, insiden berkenaan bermula apabila bas tersebut terlibat dalam satu kemalangan kecil di Jalan Enggang AU2, Taman Keramat.
“Kapten bas dilaporkan meneruskan perjalanan sambil dikejar oleh sekumpulan orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Semasa dikejar, bas tersebut dilaporkan melanggar beberapa kenderaan di sepanjang jalan sehingga tiba di susur keluar Jalan Ampang ke Lebuhraya MRR2 di mana kapten bas dilaporkan dipukul oleh beberapa orang awam.”
Dalam kejadian kira-kira 8 malam tadi, 7 kenderaan rosak teruk selepas dirempuh bas RapidKL yang dipandu seorang lelaki disyaki cuba melarikan diri daripada satu kemalangan di depan Bangunan Risda di Jalan Ampang.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Zulkefly Yahya memberitahu Bernama, pemandu bas yang cedera di bahagian kepala ditahan polis di Hospital Ampang untuk membantu siasatan.
Katanya, ujian saringan awal air kencing suspek akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Azam berkata, pemandu bas itu masih dirawat di hospital dan tiada orang awam yang dilaporkan cedera dalam kemalangan terbabit.
Beliau berkata, pihaknya amat kesal dan sedang bekerjasama dengan polis serta pihak berkuasa berkaitan untuk menyiasat kemalangan itu.
Beliau menggesa orang ramai tidak membuat spekulasi sementara menunggu siasatan polis selesai.