Peguam Doan mohon bantuan AG soal saksi warga asing

Peguam Doan mohon bantuan AG soal saksi warga asing

Peguam mewakili warga Vietnam dituduh membunuh warga Korea Utara Kim Jong Nam berkata saksi asing penting dalam perbicaraan beliau.

Free Malaysia Today
(Dari kanan) Peguam Hisyam Teh Poh Teik, Salim Bashir dan Naran Singh yang mewakili tertuduh warga Vietnam, Doan Thi Huong.
SHAH ALAM:
Peguam mewakili warga Vietnam Doan Thi Huong berkata mereka akan menulis surat kepada peguam negara (AG) berhubung permohonan untuk mengambil kenyataan daripada saksi warga asing.

Salah seorang peguam Doan, Salim Bashir berkara, beliau mahu AG meminta bantuan di bawah Akta Bantuan Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah (MLA) bagi merekodkan kenyataan daripada saksi untuk memberi keterangan dalam kes Doan.

“Kami menghormati keputusan mahkamah dan akan mempertahankan bahawa beliau tidak bersalah dalam jenayah ini.

“Kami akan memanggil saksi dari luar negara dan negara asal beliau untuk memberi keterangan,” katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Sebelum itu Mahkamah Tinggi mengarahkan Doan dan warga Indonesia, Siti Aisyah membela diri kerana tuduhan membunuh warga Korea Utara, Kim Jong Nam pada 13 Februari tahun lepas.

Hakim Datuk Azmi Ariffin memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka berdua.

Jika sabit kesalahan Doan dan Siti Aisyah boleh dijatuhkan hukuman mati.

Seorang lagi peguam Doan, Hisyam Teh berkata, beliau akan memanggil 8 ke 10 orang saksi pembelaan bermula 7 Januari depan.

“Kami akan menggunakan kenyataan beramaran beliau yang menurut mahkamah mempunyai kredibiliti,” katanya, merujuk kepada kenyataan Doan kepada polis pada 15 Februari tahun lepas.

Dalam kenyataan beramaran itu, Doan mendakwa diberitahu oleh 4 warga Korea Utara supaya melakukan “gurauan” ke atas Jong Nam.

Peguam Siti Aisyah, Gooi Soon Seng berkata, beliau akan memanggil 10 saksi, termasuk pakar, apabila perbicaraan beliau bermula semula pada 1 November depan.

“Kami berasa kecewa apabila mahkamah memerintahkan Siti Aisyah menjawab tuduhan terhadapnya, walaupun setelah kami mengemukakan keterangan bagi mematahkan kes pendakwaan,” kata Gooi.

Duta Indonesia ke Malaysia, Rusdi Kirana, yang hadir di mahkamah berkata, kerajaannya menghormati keputusan mahkamah terhadap Siti Aisyah.

“Kami akan terus memberi sokongan kepada Siti sepanjang perbicaraan beliau,” katanya.

Pada 1 Mac tahun lepas, Siti Aisyah dan Doan dituduh membunuh Jong Nam, abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, di klia2 pada 13 Februari.

Sewaktu di klia2, Jong Nam dihampiri seorang wanita yang menyemburkan sejenis cecair kepadanya, sementara seorang lagi wanita menyapu mukanya dengan kain.

Polis Malaysia kemudiannya mendapati agen saraf VX, yang diklasifikasikan sebagai senjata pemusnah am oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, digunakan dalam kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.