Bekas pemain bola sepak kebangsaan Chow Kwai Lam meninggal dunia

Bekas pemain bola sepak kebangsaan Chow Kwai Lam meninggal dunia

Bekas pemain dan ketua jurulatih itu baru-barunya mengalami serangan strok kedua

PETALING JAYA: Bekas pemain bola sepak kebangsaan Chow Kwai Lam meninggal dunia di Hospital Ampang Puteri pagi ini. Beliau berusia 76 tahun.

Chow mewakili Malaysia dari 1965 hingga 1971.

Beliau kemudiannya menjadi jurulatih pasukan Selangor, Sarawak dan Kuala Lumpur.

Ketika dihubungi, bekas editor sukan akhbar Malay Mail, Tony Mariadass berkata, Chow yang dikenalinya sejak 1970-an baru-baru ini mengalami serangan strok kedua.

Mariadass berkata, Chow merupakan seorang jurulatih yang garang.

“Beliau jurulatih yang tegas, takda main-main,” katanya kepada FMT.

Menurut Mariadass, sikap Chow sangat berlainan di luar padang dan tidak mudah mesra dengan orang lain.

“Bulan lepas beliau menelefon saya untuk mengucapkan selamat hari jadi.”

Bekas penyerang negara, N Thanabalan juga memuji Chow sebagai pemain pertahanan yang baik dan tahu membaca permainan dengan baik.

“Terjahan beliau keras. Sukar bagi mana-mana penyerang melepasi kawalannya,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, kerjaya cemerlang Chow tercemar pada 2007 apabila beliau didenda sebanyak S$50,000 tanpa kehadirannya atau 4 bulan penjara kerana cuba memberi rasuah melibatkan perlawanan bola sepak dalam Liga Singapura (S-League) pada 2005.

Beliau didakwa menawarkan wang tunai kepada Zulkifli Zainolabidin, yang pada masa itu merupakan penjaga gol pertama Kelab Bola Sepak Lebar-Punggol.

Menurut laporan, wang tersebut bertujuan mendorong Zulkifli membenarkan pasukan lawan, Home United, menyumbat 2 atau 3 gol dlam perlawanan menghadapi Paya Lebar pada 16 jun 2005.

Chow bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan dipetik oleh akhbar Star sebagai berkata,” Saya fikir 80% penduduk Malaysia tahu saya tidak terlibat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.