Jabatan agama Kelantan: Tiada laporan kanak-kanak 11 tahun dikahwinkan

Jabatan agama Kelantan: Tiada laporan kanak-kanak 11 tahun dikahwinkan

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan berkata, siasatan akan dijalankan kerana perkahwinan di negara jiran perlu mendapat kebenaran Mahkamah Syariah dan ibu bapa kerana pasangannya masih di bawah umur.

KOTA BHARU:
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) belum menerima laporan atau aduan berkaitan isu seorang lelaki berumur 41 tahun mengahwini kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Pengarah JAHEAIK, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata, setakat ini, maklumat yang tersebar di media sosial itu menyatakan lelaki berkenaan berkahwin di negara jiran.

Bagaimanapun, katanya, JAHEAIK akan menjalankan siasatan kerana perkahwinan rakyat negara ini di negara jiran perlu mendapat kebenaran Mahkamah Syariah dan ibu bapa kerana pasangannya masih di bawah umur.

“Walaupun perkahwinan itu berlangsung di negara jiran, pihak lelaki dan wanita perlu memohon kebenaran mahkamah. Undang-undang negara ini hanya membenarkan wanita berusia 18 tahun ke atas untuk berkahwin tanpa kebenaran Mahkamah Syariah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, jika mendapat kebenaran Mahkamah Syariah, wanita yang berusia 18 tahun ke bawah boleh berkahwin kerana undang-undang Islam membenarkan mereka berkahwin.

Rahim berkata, perkahwinan membabitkan perempuan bawah umur juga perlu berwalikan bapa dan mendapat kebenaran ibu bapa, selain perkahwinan itu tidak boleh berwali hakim sebagai tanda ibu bapa bersetuju dengan perkahwinan, khususnya melibatkan kanak-kanak.

“Bagi lelaki yang ingin melangsungkan perkahwinan dengan perempuan bawah umur, dia dinasihatkan memohon kebenaran mahkamah dan perkahwinan itu berlangsung di negara ini bagi mengelakkan mereka didenda.

“Jika mereka berkahwin di negara jiran dan mahu mendaftar perkahwinan di negara ini, Mahkamah Syariah boleh mengeluarkan denda sebanyak RM1,000.”

Sebelum ini, beberapa keping gambar menunjukkan seorang lelaki didakwa melangsungkan perkahwinan dengan seorang budak perempuan berusia 11 tahun sebagai isteri ketiganya tersebar di media sosial.

Lelaki itu yang dikatakan berasal dari Gua Musang, didakwa melangsungkan perkahwinan di negara jiran dengan ditemani ibu bapa budak perempuan itu yang dikatakan warganegara Thailand.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan hari ini berkata, siasatan awal mendapati pendaftaran perkahwinan itu dimohon pasangan dan ahli keluarga tanpa unsur paksaan serta dibuat secara sukarela.

Namun, jika seorang kanak-kanak perempuan berumur 16 tahun ke bawah dinikahkan tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada hakim Mahkamah Syariah, ia menyalahi peruntukan Seksyen 40 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan.

“Semasa kenyataan ini dibuat, tiada sebarang rekod sama ada di mahkamah ataupun Pejabat Agama Gua Musang yang membenarkan perkahwinan itu,” kata KPWKM.

Individu itu boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurut KPWKM, Undang-undang Syariah di negeri lain juga mempunyai peruntukan sama mengenai umur minimum bagi perkahwinan.

KPWKM berkata, siasatan awal pegawai pelindung dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan mendapati perkahwinan itu dijalankan di Golok, Thailand dan ibu bapa kanak-kanak itu ialah warganegara Thailand.

“Persetujuan antara ibu bapa budak itu dan suaminya adalah supaya budak itu hanya tinggal bersama suami setelah dia mencapai umur 16 tahun,” kata KPWKM.

Dalam pada itu, KPWKM berkata, bagi meneliti dan menangani isu perkahwinan bawah umur, Majlis Kebangsaan Kanak-kanak menubuhkan satu pasukan petugas terdiri daripada agensi kerajaan berkaitan, ahli akademik dan aktivis kanak-kanak.

Antara perkara dicadangkan ialah mensyaratkan penyediaan 2 jenis laporan, iaitu laporan kesihatan oleh doktor perubatan (psikologi) dan laporan sosial oleh pegawai pelindung untuk mendapatkan kelulusan perkahwinan bawah umur.

Laporan itu mungkin dapat membantu hakim syarie (untuk kes umat Islam) serta ketua adat dan ketua menteri/menteri nesar/menteri Wilayah Persekutuan (untuk kes orang bukan Islam) membuat pertimbangan sewajarnya sebelum memberi kelulusan.

“KPWKM mengambil pendirian budak itu perlu diberi peluang untuk mengembangkan potensi mereka sepenuhnya.”

Perkahwinan bawah umur akan memberi cabaran yang meliputi tekanan daripada segi fizikal dan mental merangkumi pelbagai aspek seperti kesihatan, pendidikan dan kewangan seorang kanak-kanak.

“Membenarkan kanak-kanak berkahwin tanpa asas yang kukuh bermakna meletakkan beban dan tanggungjawab berat sebagai suami isteri atau ibu bapa atas bahu mereka.

“Jika mereka belum bersedia dengan tanggungjawab berat ini, dikhuatiri ia membuka ruang berlaku perceraian pada usia muda dan masalah sosial lain,” kata KPWKM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.