Kajian: Perniagaan Jepun di Malaysia dijangka meningkat tahun ini

Kajian: Perniagaan Jepun di Malaysia dijangka meningkat tahun ini

Kajian dijalankan 2 kali setahun bagi memahami masalah dihadapi anggota Dewan Perdagangan dan Industri Jepun dalam operasi perniagaan mereka.

Free Malaysia Today
Syarikat Jepun tertarik melabur di Malaysia disebabkan penguasaan bahasa Inggeris yang tinggi dalam kalangan tenaga kerja. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Sentimen perniagaan Jepun di Malaysia, yang mencapai kemuncaknya selama 5 tahun, dijangka bertambah baik pada separuh kedua 2018 dan pada masa akan datang, demikian menurut hasil kajian dalam talian dijalankan oleh Dewan Perdagangan dan Industri Jepun (JACTIM) dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) pada separuh pertama tahun ini.

Sejumlah 184 syarikat Jepun, yang mewakili 33% ahli JACTIM, mengambil bahagian dalam kaji selidik 3 bulan itu, yang menunjukkan peningkatan trend dalam sentimen perniagaan sejak separuh kedua 2015.

Indeks Difusi, penunjuk utama iklim perniagaan untuk separuh pertama 2018, merekodkan 7.1 mata, tertinggi dalam tempoh 5 tahun lepas.

Kajian itu dijalankan 2 kali setahun bagi memahami masalah dihadapi oleh anggota JACTIM dalam operasi perniagaan mereka setiap tahun.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata banyak syarikat Jepun menyatakan pertumbuhan ekonomi stabil di negara ini sebagai sebab utama perkembangan masa depan.

Syarikat Jepun tertarik untuk melabur di Malaysia disebabkan penguasaan bahasa Inggeris tinggi dalam kalangan tenaga kerja.

“Sikap mesra dan positif terhadap Jepun, bencana alam minimum, persekitaran hidup selamat dan baik serta infrastruktur berkualiti juga merupakan pilihan utama dalam kalangan pelabur Jepun,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, kaji selidik itu juga mendapati dasar buruh dan situasi pekerjaan di Malaysia merupakan isu yang mempengaruhi syarikat Jepun yang beroperasi di negara ini.

JETRO dan JACTIM berkata 36.5% daripada responden dalam sektor perkilangan menghadapi kesukaran mengambil pekerja asing.

Untuk mengatasi masalah dalam menggaji pekerja asing, 39.3% daripada responden mencadangkan mekanisasi dan automatisasi sebagai jawapan kepada masalah, namun 51.9% responden mengatakan itu bukanlah jawabannya memandangkan tenaga kerja tidak mempunyai pengetahuan teknikal untuk mengendalikan mesin.

“Syarikat Jepun juga mahu prosedur permohonan pekerja asing dipermudahkan.

“Dalam sektor perkilangan, pekerja asing membentuk 15% daripada jumlah pekerja,” katanya.

Syarikat Jepun juga menjangkakan peningkatan kos buruh berikutan dasar upah minimum akan dikaji semula tahun ini.

“Dengan jangkaan kenaikan upah dan peraturan pekerja asing yang ketat, usaha bagi mendapatkan tenaga pekerja dijangkakan ‘menjadi isu kronik’ bagi syarikat Jepun,” katanya.

Kaji selidik tersebut juga menunjukan penambahbaikan dalam pengangkutan awam perlu memandangkan rangkaian pengangkutan belum siap sepenuhnya.

Tinjauan itu juga menunjukkan ahli mengharapkan penambahbaikan infrastruktur lapangan terbang.

“Keinginan melihat peningkatan dalam komunikasi dan infrastruktur internet juga tinggi memandangkan komunikasi internet tidak memuaskan dalam bidang tertentu,” katanya.

Kaji selidik itu juga mendapati syarikat Jepun berhati-hati memantau risiko mata wang asing yang disebabkan oleh keadaan domestik dan ekonomi global.

Ia juga menyatakan bahawa perubahan peraturan kawalan tukaran asing yang dikenakan oleh bank pusat pada Disember 2016 masih menjejaskan syarikat Jepun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.