KJ dan saya bukan 1 pasukan, kata Mohamad Hasan

KJ dan saya bukan 1 pasukan, kata Mohamad Hasan

Bekas MB Negeri Sembilan yang bertanding untuk jawatan timbalan presiden Umno menafikan sebarang perjanjian dengan Khairy Jamaluddin yang juga dari Rembau.

PETALING JAYA:
Calon timbalan presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan menolak sebarang spekulasi mengatakan beliau dan calon presiden Khairy Jamaluddin bertanding sebagai satu pasukan dalam pemilihan parti.

Bercakap kepada FMT, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata beliau berharap ahli Umno boleh menilai calon sebagai individu berdasarkan kebolehan mereka, bukannya melihat hubungan antara mereka.

Beliau bagaimanapun mengakui mungkin terdapat kecenderungan untuk melihat beliau dan Khairy sebagai satu pasukan kerana mereka berdua dari Umno Bahagian Rembau. Beliau adalah ketua bahagian dan Khairy adalah timbalannya.

“Khairy meminta saya bertanding sebagai presiden, tetapi saya tidak mahu,” katanya. “Jadi dia kata kalau kita tidak menawarkan muka baru, orang akan kata tiada perubahan.”

Mohamad mendakwa sebelum pilihan raya baru-baru ini, beliau merancang untuk mengundur diri daripada politik jika Barisan Nasional menang, namun beliau merasakan beliau tidak patut meninggalkan perjuangan, parti dan keadaan parti yang memerlukan kepimpinan saat ia sedang tenggelam.

Beliau menyifatkan dirinya sebagai pengurus krisis, menyatakan pengalamannya dalam bidang korporat dan politik.

“Ketika saya jadi menteri besar pada 2004, Negeri Sembilan berada dalam keadaan ketakmampuan,” katanya. “Saya terpaksa meminjam daripada kerajaan Persekutuan untuk membayar gaji dan menyiapkan kompleks sukan kerana kami menjadi tuan rumah bagi Sukan Sukma.”

Sebelum pilihan raya 9 Mei lalu, beliau berjaya mengurangkan hutang negeri daripada Putrajaya dari RM2 bilion kepada RM700 juta, meningkatkan rizab tunai kepada RM500 juta dan merancang pembangunan untuk 30 tahun akan datang.

“Saya menganggap diri saya pengurus krisis,” katanya. “Sebab itu saya lebih cenderung bertanding timbalan presiden supaya saya boleh menguruskan Umno. Saya boleh duduk dan memberi tumpuan untuk menyusun semula, membina semula dan mengubah Umno.

“Kalau Umno mahu kekal lama, kita tidak boleh amalkan cara mengurus macam dulu, yang berasaskan naungan. Anak muda mahu melihat organisasi yang profesional dan progresif. ”

Beliau menyuarakan pembinaan semula Umno boleh bermula di Rembau.

“Siapa tahu? Umno akan bangun balik bermula dari Rembau. Khairy masih muda. Dia boleh jelajah seluruh negara. Saya boleh gunakan pengalaman korporat saya untuk membina semula dan mengubah Umno bermula dari ibu pejabat.”

Pemilihan Umno akan diadakan pada 30 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.