‘Team B’ DAP dalang kenyataan anti-Najib, kata presiden Umno

‘Team B’ DAP dalang kenyataan anti-Najib, kata presiden Umno

Zahid Hamidi beri bayangan ada puak dalam DAP tak sehaluan dengan kepimpinan utama parti.

Presiden Umno Zahid Hamidi berkata beliau bertanya sendiri kepada Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook kenapa ada individu dalam parti itu buat kenyataan seolah-olah anti-Najib. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Presiden Umno Zahid Hamidi mendakwa satu puak dalam DAP yang tidak sehaluan dengan kepimpinan utama parti itu menjadi dalang di sebalik beberapa kenyataan ditujukan kepada bekas perdana menteri Najib Razak, yang kini dipenjarakan.

Mengulas ketegangan semakin memuncak antara Umno dan rakan sekutunya dalam kerajaan perpaduan, Zahid berkata, mereka yang bertindak menyerang Najib dan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh adalah sebahagian daripada ‘Team B’ DAP, sekali gus membayangkan wujudnya perpecahan dalam parti itu.

“Saya berjumpa dengan setiausaha agungnya (Loke Siew Fook) dan bertanya kenapa mereka ini buat kenyataan sedemikian,” katanya pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025, memberi gambaran Loke yang memberitahunya tentang kewujudan ‘Team B’ tersebut.

Beliau menambah: “Saya setuju Akmal kata ‘lu ingat gua siapa?’ Itu baru anak jantan, saya suka.”

Zahid bagaimanapun tidak menyebut nama mana-mana pemimpin dalam kenyataannya.

Bulan lalu, Ahli Parlimen Puchong daripada DAP, Yeo Bee Yin dikecam hebat oleh Zahid dan pemimpin tertinggi Umno lain selepas  menyindir Najib susulan kegagalan usaha bekas presiden Umno untuk dibenarkan menjalani tahanan rumah.

Yeo memuat naik hantaran di Facebook yang dilihat meraikan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Najib. Individu lain yang membuat kenyataan serupa menyambut baik keputusan mahkamah itu termasuk Adun Ayer Keroh Kerk Chee Yee (DAP) dan bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua.

Kenyataan lantang itu dikatakan menyumbang kepada desakan yang semakin memuncak supaya Umno memutuskan hubungan dengan DAP dan meninggalkan kerajaan perpaduan.

Loke berkata, beliau telah bercakap dengan Yeo mengenai kenyataan itu, yang tidak dipersetujuinya kerana tiada ‘sebab’ untuk menyindir Najib sedemikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.