Cadangan caruman KWSP untuk suri rumah wanita terlalu kecil, kata PSM

Cadangan caruman KWSP untuk suri rumah wanita terlalu kecil, kata PSM

Kumar Devaraj berkata jumlah potongan 2% caruman suami dan sumbangan kerajaan RM50 sebulan terlalu kecil dan hanya boleh dikeluarkan apabila suri rumah wanita berumur 50 tahun sedangkan ia diperlukan sekarang.

Free Malaysia Today
PSM berkata langkah lebih baik ialah membelanjakan dana RM2.25 bilion dalam cara yang benar-benar memanfaatkan keluarga B40.
PETALING JAYA:
Walaupun mengalu-alukan cadangan mewujudkan akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah, Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyifatkan cadangan tersebut sebagai terlalu kecil dan tidak memungkinkan suri rumah wanita mempunyai wang yang sangat diperlukan.

Ahli Jawatankuasa Pusat, Kumar Devaraj berkata Pakatan Harapan mahu membantu suri rumah wanita tapi jumlah potongan 2% daripada caruman suami dan tambahan sumbangan kerajaan sebanyak RM50 setiap bulan terlalu kecil dan hanya boleh dikeluarkan ketika mereka berusia 50 tahun sedangkan ia diperlukan sekarang.

Beliau berkata daripada kerajaan bersedia membelanjakan RM2.25 bilion setahun untuk tujuan itu, berdasarkan kiraan RM50 sebulan untuk 3.75 juta keluarga, lebih wajar kerajaan membelanjakan dana itu dalam cara yang benar-benar memanfaatkan keluarga B40.

Ini kerana, dengan caruman pekerja sebanyak 24% (11% sumbangan pekerja dan 13% majikan), lebih 80% pencarum akan menghabiskan simpanan dalam tempoh 5 tahun selepas bersara dan tidak mempunyai apa-apa simpanan apabila mencecah umur 70 tahun, apatah lagi caruman 2% yang dibuat atas nama suri rumah wanita.

“Sekiranya jaminan hari tua suri rumah merupakan matlamat,” katanya, “bukankah skim pencen sebanyak kira-kira RM300 sebulan untuk individu berumur 70 tahun ke atas lebih baik dan melibatkan perbelanjaaan kerajaan berjumlah RM2 bilion setahun kini?”

Beliau berkata cara lain ialah meminda skim pindahan tunai yang sebelum ini dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk 2.5 juta keluarga B40, dengan memasukkan RM100 ke akaun suri rumah wanita terbabit setiap bulan.

PSM khuatir cadangan PH sekarang tidak membantu mewujudkan simpanan hari tua yang mencukupi kerana kadar carumannya yang terlalu kecil, katanya.

Parti itu juga mendapati cadangan PH sekarang tidak melihat kerja rumah yang dilakukan isteri daripada kelompok M40 yang bekerja.

“Suri rumah bekerja turut melakukan kerja rumah setelah pulang dari tempat kerja tetapi mereka tidak termasuk dalam skim PH itu dan kegagalan tersebut menjadi halangan kepada usaha meningkatkan keupayaan ekonomi wanita,” katanya.

Kumar berkata hakikatnya nilai ekonomi kerja rumah tidak dihargai masyarakat sepenuhnya.

“Ini kerana seorang majikan perlu membayar sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan untuk menggaji seorang pembantu rumah untuk memasakan, membersihkan rumah, membasuh dan seterika pakaian dan menjaga anak-anak. Seorang suri rumah pula melakukan semua itu secara percuma,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.