
Perdana menteri Malaysia itu berkata bila Dasar Pandang ke Timur pertama kali digubal ketika beliau menjadi perdana menteri pada era 80-an, ia bukan setakat untuk menarik pelaburan dari Jepun atau datang belajar di negara ini.
“Ia mengenai soal mempelajari etika kerja orang Jepun, perasaan malu rakyat Jepun bila mereka gagal melaksanakan tugas yang mereka janjikan,” katanya pada majlis makan malam dengan rakyat Malaysia yang tinggal dan belajar di Jepun, Ahad malam.
Dr Mahathir berada di kota raya ini untuk lawatan kerja 3 hari, termasuk menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-24 mengenai Masa Depan Asia, atau Persidangan Nikkei.
Ini merupakan lawatan pertama beliau selepas menjadi perdana menteri ke-7 Malaysia bulan lalu berikutan kemenangan besar dalam pilihan raya umum.
Perdana menteri juga menceritakan kepada kira-kira 250 hadirin majlis itu mengenai langkah dilaksanakan kerajaan untuk memulihkan Malaysia daripada kerosakan dilakukan oleh kerajaan terdahulu, termasuk membebankan negara dengan hutang kira-kira RM1 trilion.
Dr Mahathir mengimbau peristiwa yang beliau lihat di Jepun bila pertama kali datang ke negara itu pada 1961 – sebuah negara yang musnah akibat perang.
“Saya lihat orang Jepun bekerja, dan bekerja keras untuk membina semula negara mereka, dan jelas sekali, hasilnya Jepun dengan cepat muncul menjadi sebuah daripada ekonomi terbesar dunia. Dari sebuah negara yang tewas dan musnah, Jepun mampu membangun semula pada kadar yang pantas dan berkesan.
“Saya dapati mengapa rakyat Jepun berjaya membina semula negara mereka; ini disebabkan etika kerja dan sistem nilai mereka. Jika anda punya cara bekerja yang salah, jika anda tidak bekerja keras dan anda tidak bangga dengan hasil kerja anda, anda akan gagal,” kata Dr Mahathir.
Beliau berkata orang Jepun menaruh rasa bangga menghasilkan produk berkualiti tinggi yang mampu bersaing dengan berjaya bersama produk dihasilkan negara lain.
“Tetapi di Malaysia kita tidak mempunyai sistem nilai ini, kita tidak berasa malu jika kita menghasilkan produk tidak berkualiti… sama ada anda buat itu bagus atau tidak, tidak menjadi hal,” kata beliau.
Dr Mahathir berkata kerajaan menghargai sikap amal rakyat Malaysia membantu kerajaan mengurangkan paras hutang menerusi tabung khas yang ditubuhkan untuk tujuan itu.
Kerajaan akan melakukan usaha terbaik untuk menyelesaikan situasi kewangan tanpa menjejaskan negara, kata beliau, dan menambah ini akan mengambil masa untuk membetulkan semula keadaan oleh kerana ia bukan tugas mudah.
Tidak seperti dahulu, kata beliau, wang tidak akan disalurkan dengan sewenangnya kepada setiap orang dan bantuan kewangan akan diberikan kepada mereka yang layak.
“Kita tidak mahu mewarisi tabiat buruk (kerajaan terdahulu),” katanya dan menambah tidak ada ruang untuk kerja ‘main-main’ termasuk sektor swasta di bawah pertadbirannya.
Dr Mahathir menggariskan bahawa usaha menghapus rasuah diberi keutamaan kerajaannya.
“Jika rasuah dihapuskan, kita boleh jimat kira-kira 30% wang kita yang boleh digunakan untuk banyak perkara lain,” kata beliau.