Aktivis Felda Mazlan Aliman dibebaskan

Aktivis Felda Mazlan Aliman dibebaskan

Peguam aktivis itu berkata, Mazlan dibebaskan lewat sejam daripada jangkaan 11 pagi kerana ada prosedur yang perlu diikuti.

Free Malaysia Today
Mazlan Aliman dibebaskan di Balai Polis Jinjang 12 tengah hari tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman yang direman sejak Khamis lalu, dibebaskan 12 tengah hari tadi, kata peguamnya.

Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, Mazlan dibebaskan lewat sejam berbanding jangkaan 11 pagi yang diumumkan beliau semalam kerana ada prosedur yang perlu diikuti.

“Baru dimaklumkan yang Mazlan Aliman dibebaskan di Balai Polis Jinjang,” katanya kepada FMT sebentar tadi.

Pada 22 Mac lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur meluluskan perintah reman 5 hari ke atas Mazlan sehingga esok.

Wan Anwar berkata, aktivis itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Polis menahan Mazlan Rabu lalu, selepas isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor membuat laporan polis terhadapnya Isnin lalu.

Ia selepas ahli Jawatankuasa Pusat Amanah itu mendakwa Rosmah terlibat dalam projek penternakan ikan sturgeon menelan berjuta ringgit oleh Felda, tetapi gagal dilaksanakan.

Projek itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu, di mana 5 pegawai kanan Felda ditahan pada 24 Januari 2017 kerana disyaki terbabit dalam kes penyelewengan projek Pemindahan Teknologi Penternakan Ikan Sturgeon bernilai kira-kira RM47.6 juta sejak 2014.

Mazlan dalam sebuah program ceramah bulan ini mendakwa beliau diberitahu seorang pegawai Felda yang ditahan SPRM, projek penternakan ikan itu mendapat “restu” Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Rosmah menasihatkan pegawai Felda cara menggerakkan projek terbabit.

Seksyen 500 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara 2 tahun atau denda atau kedua-duanya untuk kesalahan memfitnah.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pula memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Aktivis Felda Mazlan Aliman direman 5 hari

Projek gagal Felda: Rosmah lapor polis pemimpin Amanah fitnah beliau

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.