
Datin Rozita Mohd Ali dan penjaminnya sepatutnya hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini, bagi mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen untuk mengikat jamin beliau berkelakuan baik.
Peguamnya, Rosal Azimin Ahmad, juga tidak kelihatan di mahkamah hari ini.
Mahkamah diberitahu polis tidak menemui Rozita di alamat terakhirnya di Kuala Lumpur dan Melaka.
“Polis tergesa-gesa mencari responden sejak 1 tengah hari semalam di Damansara dan rumah keluarganya di Melaka, tetapi tidak berjaya,” kata timbalan pendakwa raya, Muhammad Iskandar Ahmad kepada mahkamah.
Iskandar yang juga ketua pendakwa raya Selangor berkata, polis juga gagal mengesan penjamin Rozita, yang dipercayai merupakan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang.
Beliau berkata, polis pergi ke pangkalan TUDM di Subang untuk mencari penjamin tersebut, tetapi kuarters lelaki itu kosong.
“Kali terakhir polis pergi ke premis tersebut ialah 9.30 malam (semalam), tetapi beliau tiada,” katanya.
Hakim Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah menetapkan 29 Mac ini untuk mendengar permohonan pendakwa.
Rozita, 44, diikat jamin selama 5 tahun dengan bon sebanyak RM20,000 oleh Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Mohammed Mokhzani Mokhtar, selepas dua menukar pengakuan kepada bersalah kerana menyebabkan kecederaan teruk kepada pembantu rumah warga Indonesia, Suyanti Sutrinso.
Klip video Suyanti yang cedera parah dan terbaring berhampiran longkang di kawasan perumahan Mutiara Damansara tersebar pada Disember 2016.
Menurut laporan, Rozita didakwa menggunakan pisau dapur, penyangkut baju, mop besi dan payung untuk mencederakan kepala, tangan, kaki dan organ dalaman Suyanti.
Satu petisyen atas talian menolak keputusan mahkamah itu mendapat hampir 70,000 tandatangan.
Sementara itu, timbalan pendakwa raya, V Suloshani memberitahu mahkamah syarat yang ditetapkan dalam bon ikat jamin Rozita adalah kabur.
Tun Majid berkata, Mahkamah Sesyen kini boleh mengenakan hukuman penjara jika Rozita gagal mematuhi syarat ditetapkan, termasuk memberikan alamat kediaman terakhirnya.
Iskandar yakin Rozita dan penjaminnya akan hadir pada tarikh perbicaraan akan datang.
Katanya, berlaku salah faham dalam usaha mencari penjamin berkenaan, tetapi beliau enggan menjelaskannya.
“Kami hubungi dia (penjamin), tetapi tiada respons. Polis juga menampal satu notis di pintu kuarters supaya dia datang ke mahkamah hari ini,” katanya.
Iskandar berkata, peguam yang mewakili Rozita memaklumkan beliau tidak lagi mewakili wanita itu.