
Kogee Sinniah berkata, polis perlu melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) lebih baik semasa berurusan dengan orang awam yang memerlukan bantuan.
“Saya tidak menganggap apa yang berlaku kepada saya sebagai kes terpencil, saya melihat gambaran lebih besar.
“Ini bukan kes terpencil. Pada asasnya, sebagai sebuah negara, apakah sistem yang kita perlu buat untuk menyokong rakyat?
“Hari ini saya (yang kena), bagaimana esok? Akan ada orang lain (yang berdepan keadaan sama),” katanya kepada FMT susulan jaminan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim yang siasatan akan dijalankan.
Mazlan berkata, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap anggota polis terlibat jika beliau didapati gagal menjalankan tugasnya.
Bagaimanapun, Kogee berkata, prosedur betul diperlukan, bukan setakat siasatan ke atas insiden tersebut.
Semalam, wanita itu memuat naik satu klip video 5 minit ke Facebook yang didakwanya kereta dinaiki 4 pemuda menghalang laluannya.
Beliau berkata, anggota polis tidak membantunya walaupun beliau berada di luar balai polis itu dan membunyikan hon kereta.
Insiden itu berlaku ketika beliau dalam perjalanan pulang selepas mengambil anaknya daripada latihan pada 10 malam.
Bimbang dengan keselamatan diri dan anaknya, Kogee menghubungi polis untuk melaporkan situasi itu dan memandu ke sebuah balai polis.
Bagaimanapun, beliau berkata, seorang anggota polis tidak membenarkan beliau memasuki kawasan balai.
Kogee mendakwa anggota polis itu turut menegurnya supaya bercakap dengan “cara baik”.
Tiga lelaki berusia dalam lingkungan 18 tahun, ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Mengulas tangkapan itu, Kogee berkata: “Kita perlu mendidik orang ramai yang tindakan membuli di jalan adalah salah. Ini satu lagi sebab saya membuat video itu.”
Wanita dakwa polis gagal bantu selepas diganggu ‘pembuli jalanan’