Polis nafi gagal bersedia pada operasi cegah anjing gila

Polis nafi gagal bersedia pada operasi cegah anjing gila

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak kesal dengan dakwaan tersebut kerana setiap laporan diterima berhubung kes berkenaan disiasat secara terperinci.

rabies-reuters4
Gambar Reuters
MIRI:
Polis Sarawak hari ini menafikan dakwaan Persatuan Veterinar Sarawak (SVA) mereka gagal menyediakan perlindungan secukupnya kepada petugas barisan depan terlibat dalam operasi anti rabies (anjing gila) di negeri itu selain tidak bertindak terhadap laporan polis dibuat berhubung ancaman ke atas petugas terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata pihaknya kesal dengan dakwaan SVA tersebut memandangkan setiap laporan polis diterima berhubung kes berkenaan disiasat secara terperinci.

“Saya sendiri melihat perkara ini dan 7 Jan lalu, 2 pengguna media sosial ditahan polis di Padawan kerana mengeluarkan ancaman terhadap petugas perkhidmatan veterinar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, polis kini sedang menyiasat 2 laporan polis dibuat masing-masing di Samarahan dan Miri semalam serta akan menangkap suspek sebaik sahaja mereka dikenal pasti.

Pada masa sama, Dev berkata polis akan menyediakan perlindungan secukupnya kepada petugas terlibat dalam operasi cegah rabies sekiranya mereka dimaklumkan lebih awal.

“Jika polis tidak dimaklumkan lebih awal berhubung sebarang operasi cegah rabies, jangan salahkan kami jika berlaku kejadian tidak diingini,” katanya sambil menambah polis tidak boleh membuat tangkapan semata-mata ada invidu mengeluarkan kata-kata cacian.

Katanya tindakan hanya diambil jika ancaman dikeluarkan itu bersifat jenayah dan mangsa membuat laporan polis.

Dalam pada itu beliau berkata polis terbuka untuk berbincang dengan pihak berkaitan termasuk SVA bagi menambah baik aspek keselamatan semasa operasi cegah rabies diadakan.

“Pendekatan ini lebih baik berbanding menyerang polis menerusi media,” katanya.

Beliau mengulas laporan media hari ini yang memetik Presiden SVA Dr Chuo Hock Tieng yang berkata SVA kecewa dengan ketiadaan perlindungan polis semasa operasi selain tiada tindakan diambil berhubung laporan polis oleh petugas yang menerima ancaman bunuh dan juga bom.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.