Peguam: CD kontroversi pelantikan hakim diusik

Peguam: CD kontroversi pelantikan hakim diusik

Jawatankuasa Disiplin salah menerima CD berhubung kontroversi pelantikan hakim sebagai barang bukti kerana pembuat CD tidak dipanggil beri keterangan.

vk-lingam-lingam
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi diberitahu, Jawatankuasa Disiplin (DC) salah apabila menerima cakera padat (CD) berhubung kontroversi pelantikan hakim sebagai barang bukti kerana pembuat CD itu tidak dipanggil memberi keterangan untuk mengemukakan CD itu.

“Pembuat CD itu tidak dipanggil beri keterangan untuk mengemukakan CD itu sebagai barang bukti kerana Datuk S Ambiga dan Loh Gwo Burne yang CD itu diserahkan dalam cubaan untuk CD itu dikemukakan sebagai barang bukti, bukan pembuat CD itu,” kata peguam R Thayalan mewakili Datuk V K Lingam.

Lingam yang dilarang menjadi pengamal undang-undang susulan rakaman kontroversinya itu pada 2007, memfailkan permohonan membatalkan keputusan Lembaga Disiplin Peguam Bela dan Peguam Cara (DB) yang mengeluarkan namanya daripada Senarai Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya.

Thayalan juga berkata klip video itu juga diusik kerana suntingan dilakukan dan ada perkara dipadamkan daripada klip video itu.

Peguam Razlan Hadri Zulkifli mewakili Majlis Peguam berhujah, klip video itu tidak diusik dan Hakim Datuk Wira Kamaluddin Md Said menetapkan 2 April untuk membuat keputusan terhadap usul Lingam bagi membatalkan keputusan DB itu.

Lingam memfailkan rayuan menerusi usul pemula pada 15 Disember 2015, menamakan Majlis Peguam sebagai responden, memohon mahkamah membatalkan keputusan DB pada 6 November 2015 yang mengesahkan dapatan liabiliti dibuat oleh DC yang mendapati beliau berpakat dengan pelbagai pihak untuk campur tangan atau mempengaruhi pelantikan hakim.

Beliau juga memohon perintah mahkamah membatalkan dapatan DC dalam laporan bertarikh 20 Februari 2014 yang memutuskan beliau didapati bersalah bagi kesalahan atau mempengaruhi pelantikan hakim berhubung pelantikan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim sebagai Hakim Besar Malaya dan pengesahan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan pada ketika itu.

Lingam juga memohon perintah mahkamah membatalkan dapatan dan perintah mahkamah menolak syor-syor DC bahawa beliau digantung daripada berkhidmat sebagai peguam bela dan peguam cara selama setahun dan didenda RM20,000.

Pada 20 Mei 2008, dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mencadangkan beberapa syor berhubung rakaman video itu yang didakwa menyentuh urusan pelantikan hakim oleh Lingam dan bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohd Eusoff Chin serta Ahmad Fairuz.

Dalam laporan itu, panel 5 anggota RCI merumuskan klip video itu tulen, dan Lingam ialah orang terlibat dalam perbualan dengan Ahmad Fairuz berhubung pelantikan hakim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.