Persatuan Kontraktor Melayu sokong kerajaan beri kontrak syarikat konsesi

Persatuan Kontraktor Melayu sokong kerajaan beri kontrak syarikat konsesi

Presiden PKMM, Mokhtar Samad berkata, persatuan itu sehingga kini tiada masalah dengan syarikat konsesi yang menyerahkan projek kepada kontraktor kecil dan sentiasa membantu ahlinya melaksanakan kerja penyenggaraan.

construction-site-worker-malaysia
PETALING JAYA: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) menyokong tindakan kerajaan memberi kontrak kepada syarikat konsesi yang kemudiannya menyerahkan projek itu kepada kontraktor kecil.

Pendirian itu berbeza dengan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF) yang membantah pengagihan kontrak projek memihak kepada syarikat konsesi yang menyebabkan 24,000 kontraktor kategori berkenaan hilang punca pendapatan, dan kerajaan digesa memansuhkan khidmat syarikat konsesi dalam sebarang projek pembinaan dan ubah suai.

Presiden PKMM, Datuk Mokhtar Samad berkata, penyenggaraan jalan persekutuan yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya diberikan melalui konsep penswastaan kepada syarikat konsesi dilantik yang memberikannya kepada kontraktor kecil, khasnya kelas G1.

Katanya, PKMM sehingga kini tiada masalah dengan syarikat konsesi itu yang sentiasa membantu ahlinya melaksanakan kerja penyenggaraan.

“Syarikat konsesi yang dilantik kerajaan seperti Selia Senggara, Belati Wangsa, Roadcare, Amona Infracare, Empayar Indera dan Muhibbah Bina Sdn Bhd memberikan kerja penyenggaraan kepada kontraktor kecil yang layak, sama ada melalui undian atau sebut harga,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kontraktor Kelas F atau mengikut kelas terbaharu, G1, melaksanakan kerja di bawah RM200,000. Lesen bagi kelas itu dikhususkan kepada kontraktor Bumiputera.

Semalam, Presiden PERKOBF, Tukiman Radion dilaporkan berkata kontraktor kelas F sering dipersalahkan syarikat konsesi apabila tidak melaksanakan projek dengan sempurna, bahkan tidak mematuhi piawaian ditetapkan.

“Jika pihak konsesi mendapat sesuatu projek, seperti contoh baik pulih jalan dengan nilai RM32 setiap meter, mereka akan berikan kontrak itu kepada kontraktor kelas F dengan nilai RM19 semeter pula.

“Konsesi ambil untung atas angin, itulah sebabnya salah satu kualiti binaan yang dibina tidak ikut piawaian, apabila ada kecacatan kontraktor kelas F yang dipersalahkan.”

Katanya, projek seperti itu sepatutnya diberikan terus kepada kontraktor kelas F, dalam usaha kerajaan mahu menghapuskan sistem orang tengah dalam perniagaan.

Tukiman berkata, peluang kontraktor kelas F mendapat projek juga berkurangan apabila nilai had maksimum hanya RM200,000 sedangkan harga bahan binaan semakin meningkat.

Mokhtar berkata, hampir 25,000 kontraktor kelas G1 di seluruh negara perlu merebut peluang daripada kontrak projek yang diperolehi syarikat konsesi dilantik kerajaan.

Katanya, peruntukan kerja penyenggaraan besar kepada kontraktor kecil boleh merangsang keadaan ekonomi lembap dan membantu kontraktor kecil Bumiputera di seluruh negara.

Bagaimanapun, beliau mengakui bukan semua kontraktor kelas G1 yang akan mendapat projek itu kerana mereka dipilih melalui undian atau sebut harga.

24,000 kontraktor Melayu rugi kerana syarikat konsesi, kata persatuan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.