
Tanpa kehadiran pemohon, peguam mewakili mereka, Marcel Jude Joseph memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini ditetapkan bagi mendengar semakan kehakiman tetapi anak guamnya, Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 54, dan isteri, Fauziah Piut, 51, ingin tahu sama ada Jabatan Peguam Negara mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan semakan kehakiman mereka.
Peguam Kanan Persekutuan Andi Razali Jaya memohon 2 minggu untuk pendengaran sementara menunggu respons daripada Jabatan Peguam Negara.
Hakim P Ravinthran menangguhkan pendengaran bagi semakan itu kepada 27 Februari.
Dalam permohonan mereka, Ag Mohd Tahir dan Fauziah menamakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sebagai responden pertama, manakala pengarah dan bahagian pendakwaan suruhanjaya itu masing-masing sebagai responden ke-2 dan ke-3.
Ag Mohd Tahir dan Fauziah memohon perintah certiorari bagi mengetepikan kesemua dakwaan terhadap mereka atas alasan SPRM bertindak ultra vires terhadap peruntukan berkenaan di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001 dan Perkara 5(1) dan 8 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam permohonan itu, kedua-dua pemohon mendakwa SPRM melanggar peraturan dan undang-undang asasi apabila suruhanjaya itu secara salah dan tidak wajar mendedahkan kepada umum serta akhbar, barang berkenaan, termasuk wang tunai dirampas SPRM pada 4 Oktober 2016, antaranya kepunyaan Ag Mohd Tahir, walaupun pada hakikatnya, tuduhan dan kesalahan dilakukan belum dibuktikan di mahkamah.
Kedua-dua pemohon itu, bersama-sama penasihat Kementerian Kewangan Negeri Lim Lam Beng, 62, mengaku tidak bersalah terhadap 37 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM61.57 juta.
Mereka akan dibicarakan bersama-sama bekas timbalan pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Teo Chee Kong, 52, yang menghadapi 146 tuduhan penggubahan wang haram melibatkan RM32 juta.
Ravinthran juga menangguhkan pendengaran semakan kehakiman difailkan Teo, yang dijadualkan berlangsung hari ini kepada 20 Februari.
Teo, yang hadir di mahkamah, memohon semakan kehakiman berhubung keengganan hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat menarik diri sebagai hakim perbicaraan kes itu dan perintah perbicaran bersama yang dibantah Teo.
Teo juga memfailkan notis usul bagi pengeluaran filem kamera litar tertutup (CCTV) yang ditolak Abu Bakar.
Teo diwakili peguam Nelson Wences Anggang dan Ram Singh, manakala Peguam Kanan Persekutuan Rustam Sanip mewakili SPRM.