Zuraida: Derita Indira tidak akan terjadi jika ramai wanita dalam kerajaan

Zuraida: Derita Indira tidak akan terjadi jika ramai wanita dalam kerajaan

Ketua Wanita PKR sokong cadangan Dr Mahathir Mohamad menyediakan lebih 30% tempat bagi wanita sebagai pembuat keputusan.

zuraida-indira-3
PETALING JAYA:
Zuraida Kamaruddin melihat janji Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengutamakan peranan wanita dalam kerajaan sekiranya Pakatan Harapan (PH) memerintah sebagai langkah yang baik untuk wanita.

Menurut ketua Wanita PKR itu, langkah itu memberi penekanan lebih besar pada hak wanita dan membantu dalam kes-kes seperti penukaran agama sebelah pihak dan perkelahian hak penjagaan seperti yang dialami oleh M Indira Gandhi dan S Deepa.

“Dalam kes-kes seperti Indira Gandhi dan S Deepa yang membicarakan tentang pertukaran agama, perkara ini tidak akan terjadi sekiranya wanita adalah pembuat polisi.

“Tambahan lagi, pemimpin wanita akan membawa isu-isu penting seperti menghalang perkahwinan kanak-kanak dan juga keganasan rumah tangga,” katanya.

Beliau menambah itulah hasil daripada menerima maklumat dan maklum balas dalam isu-isu penting, agar keputusan dibuat dengan pertimbangan lebih tinggi terhadap wanita.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata pandangan Dr Mahathir juga berbeza berbanding kerajaan Barisan Nasional yang tidak langsung berkeinginan untuk berkongsi kuasa dengan wanita walaupun memerintah selama 60 tahun.

Beliau merujuk kepada bicara dasar oleh pengerusi PPBM itu di Facebook pada Khamis.

Ia sebahagian daripada program media sosial oleh bekas perdana menteri itu menuju pilihan raya umum ke-14 yang boleh berlangsung dalam beberapa bulan lagi.

Dr Mahathir membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana gagal melantik lebih ramai wanita dalam jemaah menteri.

“Kalaupun kita ada menteri wanita, mereka diberi tugas yang tidak begitu penting. Kita dapati mereka dipertanggungjawabkan untuk masalah kecil…tidak berkenaan ekonomi negara, pertumbuhan ekonomi, pertumbuhan perdagangan, seperti yang kita lihat menjadi tanggungjawab Rafidah Aziz,” katanya merujuk kepada bekas ketua Wanita Umno yang berkhidmat dalam Kabinetnya.

Rafidah adalah menteri perdagangan antarabangsa dan industri dari 1987 hingga 2008, dan berkhidmat di bawah Dr Mahathir dan penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Zuraida bersetuju dengan pandangan yang disuarakan Dr Mahathir dalam program bicara dasar itu.

“Kami bersetuju dengan Dr Mahathir bahawa terdapat kurangnya kepercayaan dan keyakinan terhadap keupayaan wanita sungguhpun pada masa kini, majoriti lepasan dari universiti untuk setiap tahun adalah wanita.

“Apa yang lebih baik lagi adalah cadangan Dr Mahathir untuk menyediakan lebih 30% tempat bagi wanita dalam peranan sebagai pembuat keputusan,” katanya.

Beliau menambah langkah itu menjadikan gabungan pembangkang pilihan terbaik untuk negara, kerana lebih ramai wanita akan mempunyai akses kepada peranan lebih baik sebagai pembuat dasar.

“Dengan adanya lebih ramai wanita di dalam jawatan-jawatan penting ini, seperti menteri atau senator, nasib wanita Malaysia akan dapat dibela,” katanya.

Beliau menambah selaras dengan dasar itu, PH akan meletakkan lebih ramai calon wanita pada PRU14.

“Sekiranya kami dapat memenangi pilihanraya, ini bermaksud perkongsian kuasa dengan wanita akan tercapai,” katanya.

“Langkah Pakatan Harapan untuk meletakkan 30% calon wanita dalam PRU-14 adalah satu langkah yang baik dan telah terbukti diterima para pengundi, terutamanya pengundi wanita.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.