
Katanya, kegagalan dasar bukan hanya bergantung pada kandungannya tetapi turut melibatkan cara ia dilaksana dan disampaikan.
“Dasar yang baik boleh gagal sekiranya pelaksanaan tidak dilakukan dengan berkesan termasuk dari aspek penyampaian dan penerangan kepada rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Sesi Meja Bulat Krisis Asia Barat 2026: Strategi Intervensi dan Kesiapsiagaan Nasional 2026.
Samsuri turut merujuk kepada bekas perdana menteri United Kingdom, Margaret Thatcher, yang menurutnya kehilangan sokongan rakyat pada 1990 walaupun mempunyai rekod kepimpinan kukuh, susulan pelaksanaan dasar cukai kepada setiap individu.
“Selepas beliau berundur, cukai itu digantikan dengan cukai rumah dianggap lebih adil walaupun jumlahnya tidak jauh berbeza. Namun, pada akhirnya isu utama bukan semata-mata soal nilai cukai tersebut tetapi cara dasar itu diperkenalkan kepada rakyat.
“Oleh itu, sesuatu dasar, intervensi atau pelaksanaan bukan hanya bergantung kepada nilainya semata-mata tetapi bagaimana ia disampaikan dan diterima rakyat, selain aspek pelaksanaan,” katanya.
Beliau menegaskan, Malaysia perlu merangka dasar jangka panjang bagi memastikan ekonomi negara lebih berdaya tahan dan tidak mudah terkesan oleh krisis global pada masa depan.
Sesi itu disertai pakar ekonomi dan profesional pelbagai bidang antaranya Barjoyai Bardai dari Malaysia University of Science and Technology, Ketua Ahli Ekonomi AmBank Group Firdaos Rosli, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad Afzanizam Abdul Rashid dan Mazli Zakuan Mohd Noor dari Institute of Corporate Directors Malaysia manakala Exco Kedah Haim Hilman Abdullah sebagai moderator.