
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dipetik New Sunday Times sebagai berkata, penyiasat mungkin perlu mengambil keterangan mereka bagi melengkapkan siasatan.
“Jika didapati mereka terbabit dalam transaksi itu, mereka akan dipanggil untuk membantu siasatan.
“Jika perlu dipanggil, kami akan panggil. Tetapi yang pasti, kami akan memanggil lembaga pengarah Synergy Promenade Sdn Bhd untuk membantu siasatan,” katanya merujuk syarikat swasta yang terbabit dalam isu pemindahan hak milik tanah Felda itu.
Beliau berkata, perkara itu tidak patut menjadi subjek spekulasi kerana salah faham mungkin timbul ketika siasatan masih berterusan.
Pada 21 Disember lalu Berita Harian mendedahkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dianggarkan bernilai RM270 juta, apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.
Tanah itu sedang dimajukan untuk membina Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), sebuah projek bernilai tinggi membabitkan 7 menara.
Menurut akhbar itu, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan Felda memberikan surat kuasa wakil penuh kepada syarikat itu bagi membangunkan tanah itu.
Tanah itu kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015, dan satu lot daripada tanah terlibat didapati ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama pada 21 Julai 2016.
Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad mengakui berlaku transaksi tanah itu yang dianggarkan bernilai RM270 juta, tetapi Felda tidak mendapat sesen pun kerana tiada rekod wang dimasukkan atau dibayar dalam transaksi itu.
Akhbar itu melaporkan nilai semasa tanah Felda di Jalan Semarak itu dianggarkan mencecah RM1 bilion, jauh lebih tinggi daripada harga jualan RM270 juta dalam 4 perjanjian jual beli tanah antara Felda dan Synergy Promenade.
Pada 13 Disember lalu, polis mengumumkan penubuhan sebuah pasukan khas bagi menyiasat kes itu dan bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad disoal siasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Bukit Aman, pada 4 dan 5 Januari lalu.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan untuk penipuan dan secara tidak jujur mendorong penyerahan harta, serta Seksyen 471 akta sama menggunakan dokumen palsu sebagai tulen.