Bayi 10 bulan rosak buah pinggang, dihempas teman lelaki ibu

Bayi 10 bulan rosak buah pinggang, dihempas teman lelaki ibu

Hasil pemeriksaan doktor ke atas 2 beradik mangsa berusia 3 dan 5 tahun juga menemui kesan penderaan lama.

Ahmad-Dzaffir-Mohd-Yusoff-dera-bayi
PETALING JAYA: Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan mengalami kerosakan buah pinggang akibat dihempas ke lantai dan ditumbuk teman lelaki ibunya yang tidak tahan dengan tangisan mangsa, kata ketua polis daerah Kajang.

Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff dipetik Berita Harian berkata, hasil pemeriksaan doktor mendapati buah pinggang bayi itu gagal berfungsi akibat didera suspek berusia 25 tahun yang mengaku menggigit telinga, menumbuk dan menghempas mangsa ke lantai.

Katanya, hasil pemeriksaan doktor ke atas 2 beradik mangsa juga menemui kesan penderaan lama.

“Kita dapati suspek berbohong ketika tampil membuat laporan memaklumkan mangsa dan 2 lagi anak teman wanitanya masing-masing berusia 5 dan 3 tahun dijaga pengasuh.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengambil keterangan ibu mangsa, sama ada dia turut terbabit dalam kejadian itu,” katanya pada sidang media semalam.

Sabtu lalu, polis menahan wanita berusia 21 tahun dan teman lelakinya di Ampang dan Kajang kerana dipercayai mendera bayi itu yang muntah serta lampinnya mempunyai kesan darah.

Dua suspek itu ketika disoal siasat polis menipu mangsa dijaga pengasuh, bagaimanapun hasil siasatan mendapati mereka langsung tidak mengambil pengasuh.

Tipu dijaga pengasuh, sepasang kekasih ditahan dera bayi 10 bulan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.