
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebaliknya mencadangkan penganjur mengadakan himpunan “Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi” di Stadium Kelana Jaya yang mempunyai kapasiti lebih besar.
“Kita ada terima beberapa laporan polis daripada penduduk setempat, tidak kurang 4 laporan polis oleh warga sekitar kerana lalu lintas yang akan menyukarkan penduduk sekitar.
“…Stadium Kelana Jaya lebih tersusun, dia lebih mudah buat kawalan. Kita pun mudah buat kawalan, maklumlah perhimpunan yang berlaku sekarang apa-apapun boleh terjadi,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis hari ini.
Fuzi berkata, satu lagi alasan menolak permohonan permit itu kerana Padang Timur hanya boleh memuatkan 10,000 peserta.
“Perhimpunan itu saya dimaklumkan antara 20,000 orang akan hadir, kapasiti tempat itu tidak lebih daripada 10,000 orang.
“Jadi, bayangkanlah tempat yang sempit akan jadi limpahan kesesakan sebab tidak jauh daripada lebuh raya dan kita berpendapat, laluan masuk ada 3 yang terhad, kalau ini berlaku akan menyukarkan masyarakat sekeliling.”
Katanya, tindakan undang-undang akan diambil terhadap penganjur jika mereka ingkar arahan polis.
“Terpulang kepada mereka, kita ada undang-undang APA (Akta Perhimpunan Aman) dan kita akan ambil tindakan selaras peruntukan undang-undang yang ada,” katanya sambil memaklumkan hasil risikan polis mendapati tiada sebarang ancaman keselamatan ke atas penganjuran himpunan terbabit, setakat ini.
Sementara itu, Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Mohamad Sabu berkata, tiada sebab untuk menukar lokasi atau membatalkan himpunan itu kerana kawasan berkenaan mempunyai akses pengangkutan awam yang baik.
Katanya, 700 ahli parti dan sukarelawan juga akan membantu pihak berkuasa dari segi mengawal aliran trafik serta keselamatan di lokasi himpunan yang akan diadakan mulai 4 petang hingga 11 malam.
“Kami akan mengadakan himpunan di sana. Mereka yang menghadiri himpunan itu digalakkan menaiki LRT ke stesen Taman Jaya,” katanya pada sidang media di pejabat PPBM hari ini.
Polis menerusi satu surat yang dikeluarkan semalam menggesa penganjur memilih lokasi lain kerana himpunan itu akan mengganggu aliran trafik di Dataran Petaling Jaya dan perkhidmatan bas perantara, selain Padang Timur tidak mampu menampung peserta yang ramai.
Semalam, Mohamad Sabu yang juga presiden Amanah yakin jumlah peserta yang menghadiri himpunan julung kali dianjurkan gabungan 4 parti pembangkang itu boleh mencapai sasaran 100,000 orang.