Kes jualan rumah: Pelakon Boy Iman direman semula 3 hari

Kes jualan rumah: Pelakon Boy Iman direman semula 3 hari

Noruliman sebelum ini direman di Ampang selama 3 hari bermula 3 Oktober lalu, sebelum direman semula 2 hari di Mahkamah Majistret Muar, Johor Bahru bermula Khamis lepas.

boy-iman
SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini mengeluarkan perintah reman 3 hari ke atas Pengarah Urusan DBI Properties, Datuk Noruliman A. Rahman bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung penipuan jualan rumah membabitkan nilai RM6.2 juta.

Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret, Nurhidayah Abd Mutalib mengeluarkan perintah reman itu di Kompleks Mahkamah Shah Alam di sini.

Perintah reman 2 hari turut dikeluarkan terhadap 3 lagi individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun yang mana ketiga-tiga mereka merupakan pengarah syarikat Juta Kelulut Global Resources (SJKGR).

Kesemua mereka direman di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi membantu kes berkaitan penipuan jualan rumah yang dilakukan DBI Properties dan Syarikat Juta Kelulut Global Resources.

Noruliman, 37, yang juga pelakon dikenali sebagai Boy Iman, sebelum ini direman di Ampang selama 3 hari bermula 3 Oktober lalu, sebelum direman semula 2 hari di Mahkamah Majistret Muar, Johor Bahru bermula Khamis lepas.

Kesemua suspek yang memakai baju lokap berwarna jingga dengan tangan bergari tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 10.16 pagi diiringi anggota polis.

Rabu lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata jumlah laporan berkaitan penipuan jualan rumah yang dilakukan DBI Properties dan Syarikat Juta Kelulut Global Resources itu bertambah daripada 188 kepada 201 kes.

Katanya, pihak polis akan akan memanggil beberapa lagi individu untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.