
Jufazli, yang juga setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong, ditangkap di Kuala Lumpur semalam kerana membuat kenyataan fitnah menerusi media sosial mengenai kebakaran di Tawau baru-baru ini.
Polis merancang untuk mendapatkan perintah reman dan menerbangkannya ke Tawau untuk siasatan lanjut.
Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Saravanan Meyappan menolak permohonan reman itu.
Jufazli diwakili peguam Morhaneraj Rajakumaran dan Rajsurian Pillai semasa prosiding.
“Jufazli dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan kes tersebut diteruskan,” kata Rajsurian.
Jufazli hadir ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi semalam selepas mengetahui polis sedang mencarinya.
Beliau kemudian ditahan kira-kira pukul 3 petang berhubung laporan polis yang dibuat di Tawau.
Rajsurian berkata pihak polis merampas telefon bimbit Jufazli dan kemudian memeriksa rumahnya di Kuala Lumpur di mana beliau tinggal untuk mendapatkan bukti.
“Jufazli disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memfitnah,” kata Pillai semalam.
Susulan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah melalui rakaman video di Facebook, Pengerusi Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Alijus Sipil dilaporkan membidas aktivis itu kerana mendakwa kerajaan dan pihak berkuasa tempatan menjadi dalang kejadian kebakaran yang kerap berlaku di daerah pantai timur Sabah itu.
Alijus dilaporkan berkata kenyataan dalam video berdurasi 1 jam itu tuduhan yang tidak berasas serta tidak bertanggungjawab.
“MPT selaku kerajaan peringkat ke-3 merupakan pihak bertanggungjawab dalam menangani bencana seperti itu dan kita tidak mahu kebakaran seperti itu kerap berlaku,” katanya dilaporkan oleh TheSundaily.
Alijus kemudian mengarahkan pegawainya membuat laporan polis dan mendapatkan nasihat undang-undang untuk langkah seterusnya.
Salah satu sebab kebakaran di Tawau adalah rumah yang dibina terlalu rapat, Alijus dilaporkan berkata.
Dalam insiden terbaharu pada 5 Julai, dilaporkan kebakaran memusnahkan 60 rumah di Kampung Titingan, menyebabkan lebih 300 orang kehilangan tempat tinggal.
Ini adalah kali ke-3 Jufazli dari Semporna disiasat sejak tahun lalu.
Pada 9 November tahun lalu, beliau ditahan di pusat membeli-belah di Kuala Lumpur dan disiasat kerana memfitnah, menghasut dan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.
Beliau ditahan sehingga 15 November.
Bagaimanapun, beliau tidak didakwa walaupun ditahan di lokap balai polis Jinjang di Kuala Lumpur dan di Tawau, Sabah.
Pada 26 Mei lalu, beliau berkata menerima panggilan daripada polis mengenai kes baharu difailkan terhadapnya.
Jufazli kemudian ditangkap pada 7 Jun dan kenyataannya diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang. Beliau dibebaskan pada hari yang sama.
Jufazli dilaporkan disiasat kerana dakwaan kesalahan di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Aktivis itu seorang pengkritik lantang terutama mengenai kes dakwaan rasuah melibatkan jabatan air negeri, di mana seorang bekas pengarah dan 2 yang lain didakwa mengubah wang membabitkan RM61.48 juta.
Jufazli yang menyertai DAP pada 5 Jun turut mengumumkan hasratnya untuk bertanding di kerusi DUN Sungai Sibuga yang dipegang Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Beliau meletak jawatan sebagai pensyarah di universiti swasta untuk menumpukan perhatian kepada perjuangan di Sabah dan beliau akan tinggal di Sandakan sehingga PRU14.