
“Kami menilai Malaysia sudah keterlaluan, ini tidak boleh dibiarkan. Ini memalukan bangsa kita,” kata ketua pertubuhan Laskar Merah Putih, Adek Ervil Manurung dipetik portal berita Indonesia, Berita Satu.
Adek berkata polis Malaysia perlu menyiasat insiden itu walaupun selepas permohonan maaf secara terbuka oleh Putrajaya kepada Jakarta semalam.
“Kes ini harus dibuka sehingga dihukum,” katanya.
Pendedahan mengenai bendera Indonesia terbalik mula tersebar Sabtu lalu, apabila didapati buku cenderahati rasmi acara perasmian Sukan SEA menunjukkan jalur putih berada di atas dan jalur merah di bahagian bawah, menyerupai bendera Poland.
Ia memaksa Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin serta merta memuat naik permohonan maaf di samping membuat pertemuan dengan rakan sejawatnya Imam Nahrawi bagi menyampaikan kenyataan rasmi daripada Putrajaya.

Presiden Indonesia, Joko Widodo mengesahkan menerima kenyataan rasmi daripada Putrajaya.
Ia bagaimanapun masih tidak menenteramkan beberapa pihak di Indonesia, termasuk ahli politik dan NGO yang mahu tindakan tegas diambil ke atas Malaysia.
Sementara itu, Bernama melaporkan Adek dan 2 lagi wakil penunjuk perasaan dibenarkan memasuki kompleks kedutaan untuk menyerahkan memorandum bantahan, yang diterima Timbalan Duta Malaysia Zamshari Shaharan.