
Beliau berkata Kabinet memutuskan harus ada analisis mendalam mengenai kandungan rang undang-undang itu dengan majikan dan pekerja.
“Empat menteri telah ditugaskan untuk bertemu dengan pelbagai organisasi dan mendengar pandangan mereka. Hanya dengan itu kita akan melaporkan balik kepada Kabinet,” kata beliau dipetik The Star.
Selain Ka Siong, 3 menteri yang lain ialah Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan.
Ka Siong berkata mereka merancang untuk bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) dan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).
Dua hari lalu, Johari mengesahkan bacaan kali ke-2 RUU itu akan ditangguhkan sehingga sesi Parlimen yang akan datang pada bulan Oktober.
RUU itu dibentangkan 1 Ogos lalu dan disenaraikan di kedudukan kedua peraturan mesyuarat, yang dijadualkan akan dibahaskan minggu ini.
RUU itu mencadangkan skim di mana majikan dan pekerja perlu membuat sumbangan wajib kepada dana untuk manfaat pekerja yang diberhentikan.
Menurut Johari, beberapa pihak berkepentingan menyatakan kebimbangan mengenai potensi dana itu mengutip RM1.4 bilion setahun daripada 6.5 juta pekerja, manakala hanya sedikit orang yang akan mendapat manfaat daripadanya.
“Kerajaan masih mahu melaksanakannya, tetapi kita mahu memastikan semua pihak berkepentingan faham skim itu,” kata Johari.