
“Apabila pelaksanaan hukuman gantung itu dijalankan, keputusan petisyen rayuan masih belum diketahui,” kata N. Surendran, peguam keluarga Rames dan Suthar Batumalai yang disabitkan atas tuduhan membunuh.
“Petisyen rayuan adalah sebahagian daripada proses undang-undang, dan bukannya mengikut budi bicara. Ini bukan hak istimewa, tetapi hak yang sah.
“Penjara Kajang dan Kementerian Dalam Negeri melanggar undang-undang dan bertindak secara tidak sah,” katanya pada sidang akhbar hari ini yang turut dihadiri ahli keluarga dan Pengarah Eksekutif Amnesty Malaysia, Shamini Darshni.
Permohonan rayuan difailkan kepada Lembaga Pengampunan Negeri Sembilan oleh peguam keluarga pada 23 Februari.
https://www.youtube.com/watch?v=qbvM3xMzocE&feature=youtu.be
Surendran berkata undang-undang antarabangsa jelas menyatakan hukuman gantung tidak boleh dilaksanakan sementara menunggu rayuan atau prosiding untuk membatalkan atau meringankan hukuman.
‘Leher tidak patah’
Menurutnya, pihak keluarga turut mahu penjelasan berkenaan cara Suthar digantung.
Keluarganya mendakwa leher Suthar tidak patah selepas pelaksanaan hukuman gantung itu.
“Leher Suthar yang tidak patah, menunjukkan hukuman gantung itu tidak dilaksanakan dengan cara yang betul.
“Hukuman gantung itu perlu dilaksanakan dengan cara yang betul, di mana tertuduh mengalami kesakitan yang paling kurang, dan dilaksanakan serta-merta.
“Pihak berkuasa perlu menjawab perkara ini. Jawapannya adalah bagi kepentingan awam,” katanya.
Rames dan Suthar dijatuhi hukuman gantung pada April 2010 di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan setelah disabit tuduhan membunuh Krishnan Raman pada 4 Februari 2006.
Ketika pembicaraan, mereka mendakwa cuba menghalang 2 lelaki lain daripada menyerang mangsa, bagaimanapun keterangan itu tidak diambil kira Mahkamah Tinggi.
Rames dan Suthar memfailkan permohonan untuk pengampunan diraja, dan pada 24 Februari, hukuman gantung ke atas mereka ditangguhkan di saat terakhir.
Namun hukuman itu ditetapkan semula pada 17 Mac, tetapi ahli keluarga hanya diberitahu sehari sebelum kedua-dua itu digantung pada 6.40 pagi 15 Mac, 2017.
Ivy Chong turut menyumbang laporan ini.
Adik-beradik akhirnya jalani hukum gantung di Penjara Kajang