‘Pemuda Umno perlu jadi anak jantan pertahan pemimpin, parti’

‘Pemuda Umno perlu jadi anak jantan pertahan pemimpin, parti’

Tajuddin Abdul Rahman berkata, Pemuda Umno ketika ini dilihat lebih banyak berdiam diri dan berpeluk tubuh apabila pemimpin atau parti dicemuh dan difitnah pembangkang.

Tajuddin-umno
BAGAN DATUK: Ahli Pemuda Umno di setiap peringkat perlu menjadi “anak jantan” dalam mempertahankan kepimpinan parti dan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terus berdepan fitnah serta tohmahan pembangkang.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, menjadi “anak jantan” bukan bererti mereka perlu bersikap kasar dan biadap, sebaliknya harus lantang bersuara dalam mempertahankan maruah serta nama baik pemimpin dan parti.

“Pemuda Umno tidak boleh berdiam diri apabila presiden atau timbalan presiden parti dicemuh, dihina atau difitnah pembangkang. Mereka seharusnya perlu bertanggungjawab mempertahankan kepimpinan parti.

“Namun, Pemuda Umno ketika ini dilihat lebih banyak berdiam diri dan hanya berpeluk tubuh apabila pemimpin atau parti dicemuh dan difitnah pembangkang. Mengapa perkara ini boleh berlaku?” katanya.

Tajuddin yang juga timbalan menteri pertanian dan industri asas tani berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian Bagan Datuk di Wisma Umno hari ini.

Tajuddin berkata, Pemuda Umno seharusnya menjadi barisan hadapan dan dengan penuh keberanian serta menunjukkan kesungguhan tinggi dalam mempertahankan maruah parti, seterusnya dapat menepis segala cubaan pembangkang yang mahu menjatuhkan kerajaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pemuda Umno perlu bekerja keras bagi memastikan BN terus mendapat sokongan rakyat, sekali gus meraih majoriti lebih besar pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.