Tak terfikir Akmal akan letak jawatan, kata Zahid

Tak terfikir Akmal akan letak jawatan, kata Zahid

Presiden Umno mengingatkan Pemuda Umno, termasuk Dr Akmal Saleh supaya terbuka meraikan perbezaan pandangan dan berdepan kritikan walaupun tidak sehaluan.

Presiden Umno Zahid Hamidi berkata beliau belum memikirkan sama ada mahu menerima atau menolak peletakan jawatan Dr Akmal Saleh, jika permohonan dikemukakan.
PUCHONG:
Presiden Umno, Zahid Hamidi, tidak pernah terfikir Dr Akmal Saleh akan melepaskan jawatan ketua Pemuda walaupun berbeza pendirian dengan parti.

Katanya, beliau juga belum memikirkan sama ada mahu menerima atau menolak peletakan jawatan Akmal, jika permohonan dikemukakan.

“Saya tak pernah fikirkan perkara itu,” katanya ketika ditanya sama ada Umno terbuka menerima keputusan jika Akmal tetap mahu berundur.

Timbalan perdana menteri mengingatkan Pemuda Umno, termasuk Akmal supaya terbuka meraikan perbezaan pandangan dan berdepan kritikan walaupun tidak sehaluan.

“PMX Anwar Ibrahim, saya sendiri pernah jadi ketua Pemuda. Pemuda mesti mempunyai idealisme berbeza, tetapi kalau pandangan atau komen berbeza, kita mesti terima itu sebagai perbezaan pendapat.

“Bila orang kritik kita, kita kena terima. Kenapa bila orang kritik, kita kata orang itu tidak demokratik, tak terima hakikat, kalau orang tak setuju dengan kita, mula kita mahu cari jalan singkat.

“Jangan begitu, ini perjuangan politik, kita terima dalam politik ini bukan semua orang bersetuju dengan kita. Kalau tak setuju, tangani ketidaksetujuan itu dengan penjelasan, bukan dengan tindakan lain,” katanya selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Zahid yang juga pengerusi Nadma berkata, beliau pernah jatuh tersungkur semasa memegang jawatan Pemuda.

“Saya tidak tuju kepada beliau (Akmal) sahaja, tetapi secara umum mana-mana pemimpin Pemuda dalam parti mesti ada idealisme.

“Soal saranan itu diterima atau tidak, idealisme tetap diperjuangkan. Saya juga pernah berlanggar gunung, pernah terpijak kulit pisang, tersungkur tetapi ketersungkuran itu tidak menyebabkan kita tak boleh bangun semula.”

Akmal yang dikritik susulan penganjuran konvensyen khas Pemuda Umno minggu lalu, menyuarakan kesediaan berundur tanpa menyatakan sama ada membabitkan jawatan ketua sayap atau pentadbiran kerajaan negeri.

Dalam hantaran di Facebook semalam, katanya, mungkin tiba masanya berundur selepas melakukan yang terbaik untuk menyampaikan pesannya dan mencadangkan sebarang kekurangan mungkin terletak pada dirinya.

Akmal dalam konvensyen khas Sabtu lalu menggesa Umno menarik diri daripada kerajaan perpaduan dan bekerjasama dengan PAS di blok pembangkang atas dakwaan berlaku pelanggaran berulang ‘garis merah’ melibatkan isu 3R – kaum, agama dan raja.

Semalam, Zahid dilaporkan berkata, Umno kekal bersama kerajaan perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.