
Kritikan dan prinsip dua perkara berbeza, tegasnya di Facebook menyusul laporan media berhubung peringatan Presiden Umno Zahid Hamidi kepada sayap parti itu.
Zahid meminta Pemuda Umno termasuk Akmal terbuka meraikan perbezaan pandangan dan berdepan kritikan walaupun tidak sehaluan.
Tegas Akmal, beliau tidak mempunyai masalah untuk berdepan apa jua kritikan malah bertindak melawan.
“Tetapi prinsip saya tidak akan pernah berganjak walau seinci. Itu bezanya,” katanya yang juga Adun Merlimau dan Exco Kerajaan Melaka.
Terdahulu, Zahid dilaporkan berkata setiap kritikan perlu diterima dan mengelakkan daripada mengambil jalan singkat apabila pihak lain tidak bersetuju dengan pendapatnya.
Akmal yang dikritik susulan penganjuran konvensyen khas Pemuda Umno minggu lalu, menyuarakan kesediaan berundur tanpa menyatakan sama ada membabitkan jawatan ketua sayap atau pentadbiran kerajaan negeri.
Dalam hantaran di Facebook semalam, katanya, mungkin tiba masanya berundur selepas melakukan yang terbaik untuk menyampaikan pesannya dan mencadangkan sebarang kekurangan mungkin terletak pada dirinya.
Akmal dalam konvensyen khas Sabtu lalu menggesa Umno menarik diri daripada kerajaan perpaduan dan bekerjasama dengan PAS di blok pembangkang atas dakwaan berlaku pelanggaran berulang ‘garis merah’ melibatkan isu 3R – kaum, agama dan raja.
Semalam, Zahid dilaporkan berkata, Umno kekal bersama kerajaan perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran.