
Bercakap kepada FMT, James Chin dan Haris Zuan Jaharudin senada yang tindakan Adun Merlimau itu lebih bermotifkan mendapat perhatian terutama dari penyokong tegarnya di sayap terbabit.
Chin dari Universiti Tasmania berpandangan beliau tidak yakin Akmal akan meneruskan niatnya kerana ia memberi kesan bukan sahaja kepada dirinya tetapi pentadbiran kerajaan negeri.
“Akmal tidak mungkin meletak jawatan kerana bakal hilang jawatan Exco di Melaka,” katanya merujuk kepada jawatan exco kemajuan desa, pertanian dan keterjaminan makanan.
“Beliau tidak boleh ke parti lain kerana undang-undang anti lompat parti. Tiada tempat untuknya dan ini hanya PR.”
Haris Zuan, penganalisis dari Universiti Kebangsaan Malaysia bersetuju dengan Chin sambil menambah: “Selagi Akmal masih dalam Umno segala kenyataannya hanya wayang politik.”
Ketua Pusat Kajian Ikatan Malaysia-Indonesia (iKMI) itu menambah tidak susah untuk memahami cara politik Akmal kerana sejarah ketua Pemuda Umno sebelumnya.
“Mereka sentiasa paling lantang dan keras – fikirkan Hishamuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin semasa mereka jadi ketua pemuda.
“Hishamuddin menghunus keris semasa PAU 2007 dan versi Khairy sewaktu pemuda bukan seperti versi Khairy di episod Keluar Sekejap,” kata Haris.
Semalam, Akmal menyatakan kesediaan berundur, namun tidak menyatakan sama ada membabitkan jawatan ketua sayap itu atau pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau dikritik susulan penganjuran konvensyen khas Pemuda Umno, minggu lalu, yang resolusi diputuskan menggesa parti itu keluar daripada kerajaan perpaduan ndan bekerjasama dengan PAS di blok pembangkang kerana mendakwa berlaku pelanggaran berulang ‘garis merah’ melibatkan isu 3R — kaum, agama dan raja.
Bagaimanapun, Presiden Umno Zahid Hamidi kelmarin berkata parti itu kekal bersama kerajaan perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran.
Manakala Wong Chin Huat dari Universiti Sunway berkata tindakan Akmal mungkin didorong oleh kurangnya sokongan dalam parti atau cubaan meletakkan dirinya sebagai mangsa keadaan bagi menyedarkan Umno.
“Sekiranya Umno menarik diri daripada kerajaan, kedudukan Zahid boleh terancam. Namun, walaupun Zahid berundur, tidak mungkin pemimpin lain akan mendesak parti itu keluar daripada kerajaan,” kata Wong.
“Dalam konteks ini, Akmal kelihatan sama ada sebagai seorang radikal yang tulen atau seorang desperado yang tidak banyak kepentingan untuk dipertahankan tetapi banyak yang boleh diperoleh sekiranya desakannya berjaya.”
Akmal salah langkah
Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpendapat Akmal sudah tersalah langkah ketika menggesa kepimpinan Umno keluar dari kerajaan sedia ada.
Menurutnya, kegelojohannya sewaktu konvensyen terbabit yang mungkin tanpa menyedari kesannnya menyebabkan Akmal terpaksa mempertimbangkan meletak jawatan.
“Walhal beliau mengetahui kepimpinan tidak akan keluar dari kerajaan tapi beliau teruskan juga dengan agendanya,” katanya.