Ketua bahagian siasatan jenayah Melaka Tengah direman 7 hari

Ketua bahagian siasatan jenayah Melaka Tengah direman 7 hari

Perintah reman bermula hari ini sehingga 29 Mei membenarkan SPRM menyiasat kes rasuah terhadap pegawai kanan itu mengikut Sekyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009

sprm_polis_melaka
PUTRAJAYA: Seorang pegawai kanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah ditahan reman 7 hari bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di sekitar Melaka.

Lelaki berusia 49 tahun itu merupakan ketua bahagian siasatan jenayah daerah Melaka Tengah  adalah individu ke-12 ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Perintah reman bermula hari ini sehingga 29 Mei dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes berkenaan mengikut Sekyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009.

Lelaki itu ditahan di pejabatnya di Melaka jam 12.30 tengah hari semalam dan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya jam 9.10 pagi hari ini.

Semalam, SPRM mendapat kebenaran melanjutkan tempoh reman 9 individu termasuk 2 ketua polis daerah di Melaka selama 5 hari bagi membantu siasatan.

Selain mereka, seorang koperal polis dan seorang orang awam turut direman berhubung kes sama.

Dalam kes berasingan, seorang bekas pembantu kerani di bahagian pemasaran dan jualan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) direman 5 hari bermula hari ini sehingga 27 Mei dipercayai terbabit dengan perbuatan meminta dan menerima rasuah.

Nik Isfahanie mengeluarkan perintah reman tersebut selepas membenarkan permohonan SPRM bagi membantu siasatan mengikut seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Lelaki tersebut yang berbaju lokap SPRM berwarna jingga dan bergari tiba di perkarangan mahkamah pada 9.45 pagi dan kelihatan menutup muka ketika melihat pengamal media yang sedang menunggu.

Lelaki berusia 40 tahun itu disyaki meminta dan menerima wang rasuah dianggarkan berjumlah RM86,000 daripada beberapa firma guaman sebagai upah bagi memastikan mereka dilantik pihak bank untuk menguruskan penyediaan dokumen perjanjian pinjaman untuk pembelian hartanah di bawah GLC tersebut.

Lelaki tersebut dipercayai terlibat perbuatan itu sejak beberapa tahun lalu sebelum meletak jawatan minggu lalu.

SPRM tahan ketua bahagian siasatan jenayah Melaka Tengah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.