Kastam KLIA tumpas penyeludupan 330 kura-kura bernilai RM1.2 juta

Kastam KLIA tumpas penyeludupan 330 kura-kura bernilai RM1.2 juta

5 kura-kura jenis ‘Ploughshare’ dan 325 jenis ‘Indian Star' berasal dari Madagascar

kura-kura-madagascar-seludup
SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mematahkan cubaan menyeludup 330 kura-kura bernilai kira-kira RM1.2 juta semalam.

Timbalan Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM KLIA Abdull Wahid Sulong berkata kura-kura itu ditempatkan dalam 5 kotak yang dibawa melalui penerbangan Etihad Airways dari Antananarivo Airport, Madagascar ke KLIA.

Beliau berkata pemeriksaan terhadap kotak tersebut di gudang kargo udara, zon perdagangan bebas KLIA jam 3 petang semalam menemui 5 kura-kura jenis “Ploughshare” dan 325 kura-kura jenis “Indian Star”.

Abdull Wahid berkata siasatan awal menunjukkan kura-kura yang dirampas itu dicatatkan sebagai batu dalam waybil udara.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengesan pengimport atau pemilik kura-kura yang dialamatkan ke Salak Tinggi, Sepang, Selangor yang kemudiannya didapati palsu,” katanya sambil menambah sehingga kini belum ada tangkapan dilakukan berkaitan kes itu.

Abdull Wahid berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda minima 10 kali nilai atau maksima 20 kali ganda dari nilai barangan yang disita atau dipenjarakan tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata pengimportan kura-kura dilarang di bawah Jadual Ke-3 Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kecuali dengan permit.

“Ia juga disenaraikan sebagai barang yang dilarang import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017, Butiran 1, Jadual Ke-3, Bahagian III kecuali dengan permit import Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara),” katanya.

Menurutnya, harga pasaran gelap kura-kura jenis ‘Ploughshare’ ialah US$4,000 (US$ 1 = RM4.33) seekor sementara harga bagi ‘Indian Star’ ialah US$1,000.

“Kura-kura berkenaan disyaki untuk dijadikan haiwan peliharaan namun tidak dapat dipastikan sama ada ia dihantar ke Malaysia bagi tujuan transit atau untuk pasaran tempatan,” katanya.

Semua kura-kura yang dirampas itu akan diserahkan kepada Perhilitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.