
Ibu pelajar terbabit, Felda Wani Ahmad berkata, anaknya, Mohamad Thaqif Amin Mohd. Gaddafi, 11, yang merupakan anak ke-3 daripada 5 beradik itu mendaftar masuk ke pusat tahfiz berkenaan pada 27 Januari lalu.
Kata Felda Wani, anak dia pada awalnya sangat gembira kerana dapat belajar di pusat tahfiz berkenaan.
“Namun sejak akhir-akhir ini dia berubah dan meminta saya mengeluarkannya dari situ setelah dia dan rakannnya sering dipukul oleh seorang pembantu warden di tapak kaki dan betis dalam keadaan sujud.”
Dia membuat keputusan mengeluarkannya dari tahfiz tersebut pada 31 Mac lalu setelah mendapati keadaan anaknya tidak lagi seperti dahulu dan seolah-olah ketakutan untuk kembali ke sana, katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru hari ini.
Dipetik Utusan Online, Felda Wani berkata, keadaan kesihatan anaknya itu semakin merosot setelah dibawa keluar dari pusat tahfiz berkenaan sebelum dimasukkan ke HSI, Rabu lalu.
“Kedua-dua kaki anak saya menjadi lebam kemerahan dan doktor yang merawat mengatakan terdapat darah beku dan jangkitan kuman yang telah merebak ke buah pinggang anak saya.”
Katanya, doktor tidak dapat berbuat apa-apa melainkan melakukan pembedahan semalam bagi memotong kedua-dua belah kaki anaknya bagi mengelakkan kuman itu daripada merebak.
Felda Wani yang merupakan seorang guru di sekolah rendah di Kota Tinggi berkata, dia masih menunggu laporan perubatan bagi mengetahui sama ada kejadian yang menimpa anaknya itu adalah kesan daripada hukuman rotan berkenaan.
Beliau dan keluarga yang tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang turut membuat laporan polis di Balai Polis Ulu Tiram pada 19 Mac lalu.