Nur Jazlan: Pakatan tidak jujur, politikkan isu Aishah Atam

Nur Jazlan: Pakatan tidak jujur, politikkan isu Aishah Atam

Tidak perlu adanya pembangkang yang konon-kononnya mahu membela Siti Noor Aishah sedangkan mereka membelanya dengan cara tidak jujur.

jazlan-sitiaisyah
JOHOR BAHRU: Timbalan menteri dalam negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini membidas kepimpinan Pakatan Harapan mengambil kesempatan untuk kepentingan politik dengan cuba memperjuangkan isu penahanan Siti Noor Aishah Atam.

“Tidak perlu adanya pembangkang yang konon-kononnya mahu membela Siti Noor Aishah sedangkan mereka ini (pembangkang) membelanya dengan cara tidak jujur.”

“Inilah cara pembangkang yang mahu meraih undi rakyat,” kata beliau dipetik Bernama.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak tidak memperbesarkan isu penahanan Siti Noor Aishah dan menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan.

Penahanan ke atas Siti Noor Aishah ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu adalah susulan rayuan oleh Timbalan Pendakwa Raya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan wanita tersebut pada September lepas.

Pada Mac tahun lepas, Siti Noor Aishah ditahan buat pertama kali di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan dan Sosma kerana memiliki 12 buku yang didakwa berkaitan kumpulan pengganas.

Katanya, jika Siti Noor Aishah yang ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) didapati tidak bersalah, bekas pelajar Universiti Malaya itu akan dibebaskan.

“Polis tidak akan menahan mana-mana orang sekiranya mereka langsung tidak terlibat dengan aktiviti yang didapati cenderung kepada kegiatan keganasan.

“Dalam kes Siti Noor Aishah ini, dia akan dinilai sama ada betul-betul terlibat dengan keganasan atau tidak,” kata beliau, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai penahanan semula Siti Noor Aishah, 29, di bawah Sosma pada 27 Mac lepas dan kini ditempatkan di Penjara Kajang.

Kelmarin, FMT membawa laporan bapa Siti Noor Aishah, Atam Jusoh gagal menahan air mata ketika menceritakan nasib anaknya itu.

Beliau yang diiringi NGO Suara Rakyat Malaysia dan beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan hadir di Dewan Rakyat bagi menghantar memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri berhubung penahanan anaknya.

“Saya terkejut dengan penahanan anak saya. Dia hanya pelajar yang membuat kajian. Saya terlalu dukacita…minta maaf kepada wartawan, saya tidak boleh bercakap panjang,” katanya teresak-esak pada sidang media.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, kehadirannya bersama beberapa ahli Parlimen lain bagi menyatakan solidariti dan simpati kepada Aishah dan keluarga.

“Kita akan cuba mencari saluran bagi menyampaikan suara keluarga kepada pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Nur Jazlan turut menasihati rakyat di negara ini agar tidak terlibat dengan penyebaran mesej berunsurkan aktiviti pengganas melalui laman sosial seperti Facebook atau aplikasi WhatsApp.

“Polis sentiasa pantau setiap perhubungan yang berlaku. Orang asal yang hantar, dia pandai ‘tutup diri’ (untuk elak dikesan polis) dan yang ditahan pula orang kedua atau ketiga yang didapati terlibat memanjangkan mesej itu,” kata beliau.

Bapa Siti Noor Aishah menangis terkenang nasib anak ditahan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.