Zaid: Cukuplah petik sumber lama, tumpu konteks semasa

Zaid: Cukuplah petik sumber lama, tumpu konteks semasa

Akhlak dan nilai kaum Badwi tidak semestinya Islam, adil atau berguna dalam konteks hari ini, kata Zaid Ibrahim.

zaid-makamah-syariah
PETALING JAYA: Datuk Zaid Ibrahim menyeru pihak-pihak yang menyokong pindaan akta berkaitan Mahkamah Syariah supaya tidak mewajarkan langkah itu dengan memetik sumber dan rujukan masa lalu, sebaliknya memberi pertimbangan sewajarnya kepada keadilan dalam konteks masa kini.

Dalam mesej Twitter hari ini, bekas menteri undang-undang itu menekankan standard etika yang difahamkan diamal sebelum ini tidak semestinya Islam dan relevan hari ini.

“Akhlak dan nilai kaum Badwi tidak semestinya Islam, adil atau berguna dalam konteks hari ini,” kata beliau.

“Jangan buang masa berdebat mengenai sumber undang-undang kita. Kamu sepatutnya lebih berminat dengan keadilan.”

Zaid menjawab peguam Aidil Khalid yang berkata orang Islam boleh melaksanakan prinsip akhlak mengikut agama mereka dengan meminda undang-undang dan meningkatkan hukuman mengikut prinsip Islam.

Bercakap kepada hadirin di sesi debat semalam, Aidil juga mendakwa Kanun Keseksaan mempunyai unsur Kristian yang dibawa oleh penjajah British.

“Peguam Aidil nampaknya kurang faham tentang bagaimana tamadun berkembang. Akhlak sentiasa menjadi produk kepercayaan rakyat,” kata Zaid, yang baru-baru ini menyertai DAP.

Beliau juga menyifatkan langkah meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 sebagai gimik politik kerana kerajaan negeri tidak minta ia dipinda. Semua mahkamah syariah di Malaysia beroperasi di peringkat negeri.

“Akta 355 bertatacara? Bagaimana kamu terangkan akta ini tidak relevan. Apa yang penting ialah siapa yang memerlukan? Kerajaan negeri tidak minta ia dipinda,” katanya.

“Islamis perlu ingat (Presiden PAS) Hadi Awang bukan kerajaan negeri,” tambahnya.

Tahun lepas, Datuk Seri Hadi Awang, juga Ahli Parlimen Marang, melalui rang undang-undang persendirian, mahu meminta akta tersebut bagi membolehkan hukuman lebih keras ke atas pesalah syariah.

Peningkatan yang dicadangkan termasuk hukuman maksimum 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan.

“Jadi kamu lihat ia hanya gimik politik untuk meyakinkan orang Islam bahawa Najib dan Hadi pahlawan Islam,” katanya, merujuk kepada laporan hubungan rapat antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Hadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.